Isnin, 26 Jun 2017 - 4:40PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Model politik sihat taut rakyat, Ulul Amri

Oleh Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin

PEMIMPIN cerminan rakyat. Jika rakyat rosak, demikian juga pemimpinnya. - Foto hiasan

ULUL amri boleh diertikan sebagai individu yang memiliki kuasa meliputi pemerintah yang paling tinggi (pemerintah pusat), amir (gabenor), hakim (qadi) sehinggalah golongan yang mempunyai lingkungan kuasa terhad.

Pelantikan Ulul Amri adalah fardu kifayah. Tercatat dalam Kitab al-Nuzum al-Islamiyyah oleh Hasan Ibrahim Hasan, sirah merakamkan pelantikan Ulul Amri:

Dipilih oleh ahlu al-Halli wa al-Aqdi, pelantikan itu dibuat melalui bai'ah kecil kemudian diikuti bai'ah besar seperti pelantikan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq setelah berlaku perbahasan antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Dicalonkan khalifah terdahulu tanpa bangkangan, orang ramai berbai'ah selepas pencalonan tersebut seperti pelantikan Saidina Umar bin al-Khattab selepas dicadang Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.

Pelantikan melalui syura antara mereka yang dikenali dengan integriti, jihad dan sumbangan kepada Islam seperti Khalifah Umar bin al-Khattab memilih Ali bin Abu Talib, Talhah bin Ubaidullah, Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan dan al-Zubair bin al-Awwam.

Allah SWT menggandingkan ketaatan kepada-Nya dan Rasul dengan ketaatan kepada Ulul Amri. Allah SWT berfirman maksudnya:

"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan Ulul-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan RasulNya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah al-Nisa': 59)

Berdasarkan di atas, wajib ke atas setiap Muslim taat kepada Ulul Amri Muslim selama Ulul Amri tidak menyuruh melakukan maksiat terhadap Allah dan Rasul-Nya. Apabila Ulul Amri menyuruh melakukan maksiat, maka suruhan itu tidak boleh ditaati dan wajib patuh terhadap suruhan maaruf terdahulu. Tidak dinafikan ada tindakan pemerintah yang tidak dipersetujui rakyat dan tindakan itu tidak mungkar. Maka sekiranya tindakan itu tidak menyanggahi syarak, tidak membawa keburukan yang nyata mahupun bukan satu kezaliman, maka ia termasuk dalam batas-batas ijtihad pemerintah yang diizinkan syarak dan rakyat mesti taat.

Jika setiap orang mahu bertindak mengikut ijtihad sendiri dalam perkara membabitkan kepentingan awam, tentu rosak keadaan negara dan musnah kemaslahatan awam. Dalam keadaan ini, ijtihad rakyat hendaklah akur kepada bidang kuasa pemerintah dalam perkara membabitkan kemaslahatan awam. Pemimpin dan rakyat menjalankan tugas sebagai khalifah yang melaksanakan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Wajib taati Ulul Amri

Ketaatan kepada Ulul Amri satu kewajipan, iaitu:

Ikhlas mencintai Ulul Amri, inginkan kebaikan dan benci apa yang menyusahkan. Rasulullah SAW guna perkataan "al- nasihah" melambangkan keikhlasan rakyat kepada Ulul Amri seperti diriwayatkan Tamin bin Aus al-Daari, ia berkata Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Agama itu nasihat, kami berkata: bagi siapa? Baginda bersabda: Bagi Allah, KitabNya, RasulNya, pemimpin kaum muslimin dan umat mereka. (Riwayat Muslim). Ibn Daqiq al-"Id menjelaskan dalam kitab Syarh Matan al-Arba'in al-Nawawi bahawa nasihat bagi pemimpin muslimin adalah dengan membantu dalam kebenaran, mentaati, memperingatkan kesalahan dengan lemah lembut, mengingatkan dalam hal-hal yang lalai, mempersatukan hati manusia untuk mentaati, jihad bersama dan mendoakan kebaikan untuk mereka.

Mendoakan pemimpin. Pemimpin cerminan rakyat. Jika rakyat rosak, demikian juga pemimpinnya. Mendoakan pemimpin dan bukan mencelanya kerana doa kebaikan adalah sebab membawa kebaikan sehingga kita turut berada dalam kebaikan. Doa seseorang kepada saudaranya dalam keadaan saudaranya tidak mengetahui adalah doa yang dimakbulkan. Rasulullah SAW ada bersabda:

Doa seorang Muslim kepada saudaranya ketika saudaranya tidak tahu adalah doa yang mustajab. Di sisinya ada malaikat (yang mengaminkan doanya kepada saudaranya). Ketika dia berdoa kebaikan kepada saudaranya, malaikat tersebut berkata: "Amin, engkau akan mendapatkan yang sama dengannya." (Riwayat Muslim)

Menghormati dan memuliakan Ulul Amri. Ini adalah kewajipan dalam Islam, manakala mencela dan memperlekehkannya adalah dilarang. Perbuatan ini perlu diamalkan untuk menimbul perasaan takut di kalangan rakyat supaya tidak berani membuat kerosakan dan keburukan dalam masyarakat. Diriwayatkan daripada Ziyad bin Kusaib, menceritakan pada suatu masa beliau berada di bawah mimbar Ibnu 'Amir bersama Abi Bakrah. Ketika itu Ibnu 'Amir berkhutbah dengan mengenakan pakaian yang nipis (jarang). Lalu Abu Bilal berteriak: Lihatlah pemimpin kita, dia mengenakan pakaian orang fasiq!. Lalu Abi Bakrah menjawab: Diamlah, bahawasanya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):

Sesiapa yang menghina penguasa Allah di muka bumi, nescaya Allah akan menghinanya." (Riwayat Tirmizi).

Umat Islam perlu menilai kerajaan dan pemimpin dengan tanda aras yang betul berdasarkan fakta, bukan mengikut emosi dan sentimen. Umat Islam perlu memahami fiqh wala' dan taat yang tepat bagi menyusun kesetiaan dan mengeratkan hubungan rakyat dengan kerajaan dalam model politik sihat. Islam benarkan umatnya menyatakan rasa tidak setuju yang disantuni dengan adab dan tidak memecah-belahkan. Ketaatan tidak diberikan secara membuta tuli. Rakyat berhak bertanya memohon penjelasan dalam ruang lingkup dan mekanisme yang sewajarnya. Pemimpin perlu berusaha beri penjelasan dan merangka program demi kemaslahatan bersama, bukan sekadar menuntut ketaatan. Ketaatan bukan candu yang melemahkan tetapi merupakan hormat menghormati dan keikhlasan kedua belah pihak.

Penulis ialah Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri


Trending

    Disyorkan