Selasa, 27 Jun 2017 - 1:17AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Khamenei kritik sikap AS terhadap Iran


PEMIMPIN tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. -Foto EPA

BEIRUT: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyelar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan apa yang disifatkannya sebagai permusuhan ditunjukkan AS terhadap Republik Islam itu.

"Kumpulan yang tidak berpengalaman belum lagi mengiktiraf penduduk dan pemimpin Iran.

"Apabila agenda mereka terbongkar, ketika itu mereka tahu apa yang berlaku," katanya, menurut laman web bagi saluran televisyen kerajaan.

Khamenei dan pegawai kanan Iran lain meningkatkan kritikan ke atas AS sejak beberapa minggu ini selepas Trump melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi, seteru utama Iran di rantau Teluk.

Ketika lawatan itu, Trump menyatakan Iran sebagai sumber utama pembiaya dan penyokong kumpulan militan.

Beliau juga mengkritik perjanjian nuklear Iran dan enam kuasa besar, termasuk AS, yang membawa kepada penarikan semula kebanyakan sekatan terhadap Tehran.

Trump berkata, Washington akan menilai semula perjanjian tetapi tidak menyatakan akan memansuhkannya.

Hubungan diplomatik kedua-dua negara terputus sejurus selepas revolusi Iran pada 1979 dan permusuhan dengan Washington sudah lama menjadi perkara utama bagi penyokong Khamenei di Iran. - Reuters


Trending

    Disyorkan