Isnin, 26 Jun 2017 - 4:43PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Ramadan detik eratkan hubungan keluarga: Nelydia Senrose

Oleh Zaidi Mohamad



PELAKON, Nelydia Senrose. - Foto Rohanis Shukri.

KUALA LUMPUR: Selain mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta, pelakon Nelydia Senrose, turut menjadikan Ramadan sebagai detik merapatkan lagi hubungan bersama keluarga.

Apatah lagi pada bulan puasa kali ini, dirinya memang tidak terikat dengan sebarang kerja lakonan, justeru ia memberikan ruang buat bintang berusia 22 tahun terbabit untuk mengeratkan silaturahim bersama famili tercinta.

Bahkan, sejak tiga tahun lalu, Nelydia seboleh-bolehnya tidak mahu aktif di depan kamera sepanjang bulan mulia. Cuma pada tahun lalu, sebahagian Ramadan dihabiskan di lokasi Jebat, naskhah lakonannya bersama Sharnaaz Ahmad.

Filem terbabit dijangka menemui penonton pada November tahun ini.

"Selalunya, saya memang tidak mengambil tawaran berlakon pada bulan puasa. Cuma, ada ketikanya saya juga tidak boleh menolak rezeki yang datang.

"Ketika ini, saya hanya isikan masa dengan kerja membabitkan kempen produk dan penjenamaan diri. Ramadan kali ini, saya tidak terikat dengan mana-mana penggambaran drama atau filem. Jadi, saya manfaatkan peluang dan masa yang ada untuk melipat gandakan pahala.

"Saya mahu meraikan detik penuh keberkatan ini dan raya nanti bersama keluarga tersayang. Saya tidak mahu mempersiakan semuanya begitu saja. Keluarga pula sememangnya menjadi keutamaan saya," kata adik kepada pelakon, Uqasha Senrose ini.

Menyentuh sambutan 1 Syawal, pelakon bernama penuh Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen ini mengakui sejak dua tahun lalu beliau tidaklah terlalu beriya-iya dalam membuat persiapan, terutama menyediakan baju raya.

"Mungkin sebab saya pun sudah besar dan usia juga meningkat, jadi kita pakai apa yang ada. Lainlah golongan kanak-kanak, merekalah yang teruja untuk menyambut raya.

"Bagi saya, selain dapat berkumpul bersama anggota keluarga, Aidilfitri adalah lebih kepada detik memahami makna sebenar keikhlasan dan merapatkan silaturahim," katanya yang turut menghargai waktu untuk bermaaf-maafan bersama keluarga dan rakan taulan pada hari mulia.


Trending

    Disyorkan