Isnin, 26 Jun 2017 - 4:36PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

TMP manifestasi kawalan keselamatan gaya ASEAN

Daripada Sophia Ahmad



MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama dua rakan sejawatnya dari Indonesia dan Filipina, Ryamizard Ryacudu (kiri) serta Delfin Negrilli Lorenzana (tengah). - Foto Reuters

TARAKAN (Kalimantan Utara): Penubuhan Trilateral Maritime Patrol (TMP) membabitkan tiga negara adalah manifestasi jelas terhadap kerjasama keselamatan berorientasikan ASEAN, sekali gus petunjuk terhadap keupayaan pertahanan mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kekuatan Malaysia, Filipina dan Indonesia dalam menangani sebarang bentuk ancaman tidak perlu dipertikaikan lagi walaupun ada kalanya ia menimbulkan kegusaran dalam kalangan komuniti serantau.

Beliau berkata, evolusi zaman menyebabkan ancaman wujud dalam pelbagai bentuk, justeru strategi keselamatan terkini adalah amat kritikal bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

"Boleh dikatakan seluruh dunia pada masa ini diserang di pelbagai penjuru, sebahagian besarnya angkara kewujudan pelbagai kumpulan militan, seperti Daesh yang kini menjadi ancaman terbesar di hampir semua bahagian dunia termasuk Eropah.

"Daesh yang bertopengkan jihad dan agama Islam ini tidak pernah disangka akan menjadi satu 'kegilaan' yang meresahkan kita. Tapi ia kini berlaku dan TMP adalah antara kaedah yang kita percaya mampu membataskan pergerakan mereka di ASEAN," katanya dalam sidang media pelancaran TMP di atas kapal KRI Dr Soeharso di Pelabuhan Tarakan, di sini.

Terdahulu, Hishammuddin bersama dua rakan sejawatnya dari Indonesia dan Filipina, Ryamizard Ryacudu serta Delfin Negrilli Lorenzana melancarkan bersama penubuhan TMP sebagai satu lagi alternatif keselamatan serantau.

Membabitkan pelbagai agensi dari Malaysia seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), ia turut menggabungkan kerjasama Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Angkatan Tentera Filipina (ATP).


Trending

    Disyorkan