Isnin, 26 Jun 2017 - 4:54PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Soon Kit cabar V Shem-Wee Kiong bangkit di Australia

Oleh Helmi Talkah



PASANGAN beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong. - Foto Rosli Rahmat

KUALA LUMPUR: Selepas dikritik susulan prestasi hambar ketika saingan Piala Sudirman, Goh V Shem-Tan Wee Kiong perlu menggunakan aksi di Terbuka Australia untuk kembali membuktikan kredibiliti mereka sebagai pasangan beregu lelaki utama negara.

V Shem-Wee Kiong dilihat menjadi punca kegagalan Malaysia pada kempen Piala Sudirman di Gold Coast bulan lalu, apabila gagal menyumbangkan mata buat Malaysia ketika berdepan Jepun.

Mereka tewas dua kali di tangan Keigo Sonoda-Takeshi Kamura ketika aksi peringkat kumpulan dan suku akhir.

Bagaimanapun, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit percaya pasangan itu kini mempunyai keinginan cukup tinggi bagi melakar kejayaan terutama selepas apa yang mereka harungi di Gold Coast.

"Mereka menunjukkan kesungguhan ketika sesi latihan. Saya boleh nampak mereka tunjuk komitmen dengan fokus utama adalah bagi memastikan keadaan fizikal dan kecergasan mereka pada tahap terbaik.

"Minggu lalu mereka mengikuti program latihan secara penuh. Sukar untuk saya ramal apa-apa kerana baru seminggu mereka jalani latihan penuh.

"Beri mereka peluang dan ruang. Saya percaya mereka boleh lakukan sesuatu pada Terbuka Australia kali ini," kata Soon Kit.

V Shem-Wee Kiong terlepas aksi di Terbuka Indonesia yang berakhir kelmarin, kerana masing-masing mengalami kecederaan. V Shem mengalami kecederaan belakang manakala Wee Kiong pula berdepan kecederaan lutut.

Mereka akan memulakan saingan Terbuka Australia menentang beregu Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko pada aksi pusingan pertama, Rabu ini.

Jika menang, mereka akan berdepan pasangan Thailand, Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet untuk aksi pusingan kedua.


Trending

    Disyorkan