Selasa, 27 Jun 2017 - 1:28AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

PPBM tak layak calonkan diri sebagai PM

Oleh Adha Ghazali



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap di hadapan kira-kira 3,000 hadirin sempena Majlis Perdana Menteri Bersama Kepimpinan Akar Umbi Negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar. - Foto Azhar Ramli

KANGAR: Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri daripada pembangkang disifatkan sebagai melanggar prinsip demokrasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ini kerana PPBM yang hanya mempunyai satu kerusi Parlimen ketika ini tidak layak untuk berkira-kira menerajui pembangkang sekiranya ditakdirkan gabungan Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

"Jangan tawar diri sendiri... dalam sistem demokrasi calonnya ramai, namun hakikatnya dalam sistem demokrasi siapa yang akan jadi Perdana Menteri tentunya daripada parti yang dapat banyak kerusi.

"Sejak merdeka siapa Perdana Menteri, tentunya Presiden UMNO... kenapa?... sebab UMNO paling banyak kerusi... dalam 222 kerusi Parimen, BN (Barisan Nasional) dapat 134 dengan 88 daripadanya milik UMNO... maka UMNO parti terkuat dalam kerajaan.

"Kalau seandainya pembangkang (menang PRU), parti mana yang dapat kerusi terbanyak dialah akan tawar calon untuk jadi Perdana Menteri... namun InsyaAllah tak sampai tahap itu sebab rata-rata saya pergi, saya tengok UMNO dan BN masih kuat dan mampu untuk menang PRU," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 hadirin sempena Majlis Perdana Menteri Bersama Kepimpinan Akar Umbi Negeri Perlis di Dewan 2020, di sini.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan RM3 juta untuk baik pulih rumah uzur di Perlis, selain RM3 juta lagi untuk penyelenggaraan jalan raya yang rosak.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man selaku Timbalan Pengerusi UMNO negeri.

Mengenai PPBM, Perdana Menteri berkata tiada guna parti itu menamakan calon mereka sebagai Perdana Menteri, malah parti itu tiada hak untuk berbuat demikian.

"Tak guna kita cuba menonjolkan si polan ini atau si polan itu (sebagai calon Perdana Menteri)... ada orang itu, orang lain tak buka mulut, tetapi dia sendiri pula yang buka mulut.

"Sekarang parti bunga (PPBM) ada satu kerusi sahaja tetapi nak calonkan Perdana Menteri... UMNO ada 88 kerusi, mana boleh nak lawan satu (kerusi) dengan 88 (kerusi)... oleh itu kita mesti faham kenapa kita kena kerja kuat," katanya.


Trending

    Disyorkan