Selasa, 27 Jun 2017 - 1:26AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

FGV: Isa akan buat sidang media

Oleh Ifwan Tun Tuah



BEKAS Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Samad berucap ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, hari ini. - Foto Adzlan Sidek

BANDAR SERI JEMPOL: "Saya akan buat sidang media nanti. Biar semua media ada. Kalau tidak nanti semua nak telefon, susah...," kata bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Samad.

Isa menjawab ringkas selepas ditanya mengenai peletakan jawatannya dalam syarikat perladangan itu.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengeluarkan sebarang kenyataan selepas melepaskan jawatannya di FGV, sebelum dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini, mengumumkan Isa dengan rela hati melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi FGV.

Bagi menghargai peranannya, Najib berkata, kerajaan melantik beliau sebagai pemangku Pengerusi SPAD berkuat kuasa serta-merta.

Mengenai perlantikan sebagai pemangku Pengerusi SPAD, Isa meminta diberi masa untuk masuk ke pejabat baharunya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.


Trending

    Disyorkan