Isnin, 26 Jun 2017 - 4:54PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

PPM perhebat rondaan pada musim perayaan

Oleh Siti Rohana Idris



Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Superintendan Mohamad Pajeri Ali (kanan) menyampaikan hamper raya kepada Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Mohd Zin Saad dalam majlis berbuka puasa di perairan Kuala Takbai selepas melakukan rondaan dan kawalan di sempadan perairan Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor hingga ke Rantau Panjang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

TUMPAT: Menjelang musim perayaan, Pasukan Polis Marin (PPM) mempergiatkan rondaan dan kawalan di sepanjang perairan Pantai Timur negara dengan 15 aset bot ronda serta kekuatan 55 anggota dan pegawai.

Rondaan lebih tertumpu di perairan Sungai Golok kerana terdapat hampir 50 pangkalan haram, bermula Pengkalan Kubor hingga Rantau Panjang.

Timbalan Komander PPM Wilayah Tiga, Superintendan Mohamad Pajeri Ali, berkata aktiviti penyeludupan semakin kerap dijalankan menjelang musim perayaan, terutama mercun dan rokok.

"Meskipun berdepan dengan modus operandi yang berlainan dan terbaru iaitu penyeludupan menerusi jalan laut, anggota kami siap siaga dalam menjalankan tugas.

"Dalam mengekang penyeludupan melalui jalan laut terutama dadah, kami bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)," katanya kepada pemberita ketika majlis berbuka puasa di sini, hari ini.

Begitupun, PPM tidak terkecuali dari berdepan cabaran dan halangan terbesar iaitu mendapat maklumat orang ramai yang bimbang terhadap ancaman keselamatan mereka.

Majlis berbuka puasa itu diadakan di atas bot PPM bersama Polis Marin Diraja Thailand; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Perikanan.

Terdahulu rondaan di sekitar perairan Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor hingga Kubang Pak Hitam, Pasir Mas dibuat bersama pasukan Polis Marin Diraja Thailand.

Mohamad Pajeri berkata kerjasama dengan Polis Marin Diraja Thailand sangat erat dan sering berkongsi maklumat bagi memudahkan tugasan mengawal dan membanteras jenayah rentas sempadan.


Lagi Berita:

Trending

    Disyorkan