Jumaat, 7 Julai 2017 | 1:10pm

Dr Lutfi cipta sejarah ke Harvard


DR Mohd Lutfi bergambar di hadapan Harvard. - Foto Ihsan Dr Mohd Lutfi

KUALA LUMPUR: Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama ditawarkan belajar di Universiti Harvard dalam Doktorat Kesihatan Awam (DrPH).

Pada September tahun lalu, Dr Mohd Lutfi, 30, juga pernah mengharumkan nama negara apabila disenarai sebagai pencetus perubahan dalam agenda Pembangunan Kelestarian 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan di dalam Forbes 30 Under 30 Asia pada April lalu.

Duta Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang sudah pun berada di Amerika Syarikat ketika dihubungi BH berkata, beliau hanya mahu mencuba nasib ketika mengisi permohonan ke universiti nombor satu dunia itu pada Mei tahun lalu, namun tidak sangka berjaya dipilih.

Katanya, beliau perlu bersaing dengan lebih 350 calon lain dari seluruh dunia dan universiti berkenaan hanya mengambil 20 pelajar pada setiap tahun selepas bidang pengajian itu kali pertama diperkenalkan pada 2013.

"Selain universiti ini, saya juga ada menerima tawaran sama dari Universiti Yale dan Universiti John Hopkins. Namun saya memilih Harvard kerana seperti semua orang tahu, ia adalah salah satu universiti dalam 'ivy league' dan antara terbaik di dunia.

Cuti bergaji selama 3 tahun

"Antara sebab saya memilih Harvard adalah kerana kursus pengajian ini diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan dan mereka juga sudi memberi cuti bergaji sepanjang tiga tahun saya berada di sini dan selepas tamat nanti akan sambung berkhidmat dengan kementerian semula," katanya.

Dr Mohd Lutfi berkata, beliau perlu menjalani tiga ujian berbeza iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan bertulis, selain perlu ditemuduga sebanyak dua kali oleh pihak Universiti Harvard yang dijalankan menerusi teknologi panggilan video, Skype.

Katanya, pengiktirafan yang diterima daripada PBB dan Forbes memang sedikit sebanyak membantu beliau untuk mendapatkan tempat ke universiti berkenaan.

"Saya memilih bidang kesihatan awam kerana memang minat dan bercita-cita untuk menjadi pakar perubatan kesihatan awam. 

"Selain itu, ia juga mempunyai kaitan dengan aktiviti kebajikan yang saya buat di Hospital Beyond Boundaries (HBB) yang menawarkan rawatan percuma kepada orang miskin," katanya.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba itu turut mengakui hasil sokongan keluarga dan isteri yang tidak pernah putus asa memberi semangat membuatkan beliau bersemangat untuk ke Harvard.

Berita Harian X