Isnin, 10 Julai 2017 | 9:12pm

Latif azam pertahan emas di London


ABDUL Latif Romly

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik kebangsaan, Abdul Latif Romly mensasarkan untuk mempertahankan pingat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia 2017 di Stadium London, Queen Elizabeth Olympic Park, England, dari 14 hingga 23 Julai ini.

Pemenang emas Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Kejohanan Dunia 2015 di Doha, Qatar itu yakin sasaran berkenaan mampu dicapai sekiranya beliau dapat memperbaiki jarak lompatan.

Sebagai rekod, Abdul Latif memenangi emas dalam acara sama pada Kejohanan Dunia 2015 di Doha, Qatar dengan catatan 7.35 meter

"Saya memang mensasarkan untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada tahun ini.

"Saya tidak pasti sama ada dapat memperbaharui rekod peribadi. Saya sendiri cuma berjanji akan memberi yang terbaik demi mengharumkan nama negara," katanya baru-baru ini

Abdul Latif turut menjangkakan saingan sengit untuk mempertahankan emas bakal hadir daripada pemenang pingat perak dan gangsa Sukan Olimpik Rio, Zoran Talic dari Croatia dan Dmytro Prudnikov dari Ukraine.

Abdul Latif mencipta rekod dunia dengan catatan 7.60 meter pada Sukan Paralimpik Rio 2016.

Dalam pada itu, beliau tidak pasti sama ada akan menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan depan dan menyerahkan perkara berkenaan kepada jurulatih lompat jauh paralimpik negara, Mohd Syahrul Amri Mohd Suhaimi

"Insya-Allah, jurulatih cakap fokus kepada Kejohanan Dunia terlebih dahulu. Kalau saya dapat beri persembahan terbaik, dia mungkin akan pertimbangkan penyertaan saya pada Sukan SEA nanti. Malahan saya baru saja pulih daripada kecederaan buku lali kanan.

"Kalau kudrat mengizinkan, saya mungkin akan menyertai Sukan SEA namun segala-galanya terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan muktamad," kata anak jati Perlis itu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini dilaporkan memberi kebenaran kepada Abdul Latif untuk menyertai Sukan SEA 2017, namun atlet berkenaan perlu melepasi syarat yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum dibenarkan bertanding pada temasya dwitahunan itu. - BERNAMA

Berita Harian X