Jumaat, 14 Julai 2017 | 10:36pm

Slash kembali dengan Melodi Kasih


KUMPULAN Slash kembali dengan lagu baharu berjudul Melodi Kasih.

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa tahun menyepi, kumpulan yang pernah popular sekitar 1995 dengan lagu Taman Astakona, Slash, kini kembali dengan single terbaru berjudul Melodi Kasih.

Kembali dengan semangat baharu, kumpulan yang memperjuangkan konsep pop rock itu juga kini bernaung di bawah label sendiri, Astakona Entertainment.

Kumpulan itu yang pernah muncul dengan dua album kini diperkuatkan oleh Anuar selaku vokalis, Joe dan Rafix (gitar), Jack (bass) serta Alin (dram).

"Single Melodi Kasih ini adalah hasil ciptaan saya sendiri sepenuhnya. Kami juga mendapatkan khidmat Adi 6ixth Sense selaku penerbit bersama.

"Proses rakaman single ini memakan masa kira-kira sebulan di studio NAR, di ibu kota. Proses 'mastering' pula dilakukan di Studio 301, Sydney, Australia," kata Joe.

Menurut pemuzik itu lagi, lagu berkenaan diadun mengikuti acuan lebih moden dan segar, seiring dengan peredaran zaman serta selera penggemar muzik masa kini.

"Masih berpaksikan genre pop rock, lagu ini memang sengaja dihasilkan mengikut acuan pop dan 'catchy'. Ia kemudiannya disalut dengan unsur cinta yang disifatkan sesuai dengan judulnya. Selain itu, kekuatannya juga terletak kepada melodi yang dikira mudah menjadi siulan anak muda.

"Kami mahukan sebuah lagu yang santai. Malah andai dilihat pada lirik, melodi dan penyampaiannya, ia tidak ubah gambaran terhadap permulaan kembara hidup saya dalam industri ini," ujar Joe lagi.

Slash sebelum ini pernah tampil bersama album perdana menggunakan nama sendiri sebagai judul pada 1995, diikuti Rindu Pada Yang Tak Sudi setahun kemudian.

Mereka juga muncul dengan single Hati Kian Terluka dan Sehening Suara Hati, masing-masing pada 2011 dan 2015.

Berita Harian X