Jumaat, 31 Mac 2017 - 6:41AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Ahli kongsi gelap maut ditembak di Banting


KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah (tengah) pada sidang media di IPK Shah Alam hari ini. - Foto Shazreen Zamzuri

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang juga ahli kumpulan kongsi gelap maut selepas ditembak individu tidak dikenali dalam kejadian di Jalan Utama 4, Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, Banting, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena beberapa das tembakan di bahagian badannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, berkata mangsa yang memandu seorang diri dikatakan dalam perjalanan menuju ke rumahnya selepas bertemu beberapa orang rakan sebelum kejadian.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa didatangi individu tidak dikenali lalu mereka melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya sebelum melarikan diri.

"Siasatan lanjut di tempat kejadian menemui empat kelongsong peluru dan sebutir anak peluru. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan jenis senjata api yang digunakan suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan setakat ini dua lelaki berusia 26 hingga 29 tahun sudah ditahan awal pagi tadi di sekitar Banting untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, sebentar tadi.

Mohd Adnan berkata, siasatan awal mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan pergaduhan dan dadah.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kes tembak itu mempunyai kaitan dengan unsur balas dendam terhadap kematian orang kanan sebuah kongsi gelap dalam kejadian pergaduhan di Telok Panglima Garang, Rabu lalu.

"Pergeseran dua kumpulan dalam aktiviti pengedaran dadah dipercayai menjadi motif dalam kejadian ini," katanya.


Trending

    Disyorkan