Ahad, 22 Februari 2015 | 8:54pm
PELUMBA pasukan McLaren Honda, Fernando Alonso dihadang oleh rakan sepasukannya dan staf perubatan ketika dibawa ke helikopter selepas terbabit kemalangan ketika sesi ujian. - Foto AFP

F1: Alonso diterbangkan ke hospital selepas terbabit kemalangan di Catalunya

BARCELONA: Pemandu pasukan Formula Satu (F1) McLaren, Fernando Alonso terbabit dalam kemalangan ngeri pada hari terakhir ujian pra-musim di sini namun dilaporkan 'ok dan sedar', kata pegawai rasmi.

Juara dunia dua kali dari Sepanyol itu melanggar dinding penghadang di penghujung selekoh ketiga dengan kelajuan mencecah 241.5 kilometer sejam.

Ambulan pasukan perubatan kemudian bergegas mendapatkan pelumba berusia 33 tahun itu dan memberikan rawatan kecemasan di tempat kejadian.

Dia kemudian dibawa ke pusat perubatan litar untuk rawatan lanjut sebelum diterbangkan ke hospital menerusi helikopter untuk ujian lanjutan.

"Fernando Alonso terbabit kemalangan di penghujung selekoh ketiga. Jentera itu berpusing dan melanggar dinding," kata kenyataan daripada Litar Catalunya. - Reuters

Berita Harian X