Jumaat, 31 Mac 2017 - 6:49AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Mahasiswa mesti bijak dapatkan maklumat - Mohamad

KAHERAH: Penuntut Malaysia di luar negara perlu bijak dalam mendapatkan maklumat sahih mengenai isu-isu semasa dan perkembangan yang berlaku di tanah air, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, mereka tidak boleh hanya bergantung kepada laman sosial seperti blog, Twitter dan Facebook semata-mata kerana maklumat di medium berkenaan tidak mengamalkan etika penulisan dan kewartawanan.

"Dunia zaman teknologi maklumat ini tidak macam dulu. Maklumat dan berita boleh diperoleh di hujung jari dalam pelbagai cara seperti di laman-laman sosial.

"Tetapi penulis di laman sosial mereka bukan berlesen dan tidak mempunyai etika atau garis panduan seperti wartawan yang sepatutnya dan mereka boleh tulis apa sahaja," katanya kepada pemberita Malaysia selepas beramah mesra dengan anggota Kelab UMNO Luar Negara Mesir di sini Sabtu.

Mohamad berada di sini untuk lawatan kerja tiga hari bagi meninjau perkembangan mahasiswa dan mahasiswi Negeri Sembilan yang mengikuti pengajian di Mesir.

Beliau berkata, selain membaca maklumat atau berita yang dipaparkan di laman sosial, para penuntut perlu membaca maklumat atau berita sama daripada sumber lain dan membuat perbandingan.

Katanya, dengan cara ini mereka boleh mendapatkan maklumat lebih tepat dan tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan anasir yang boleh melemahkan jati diri terhadap negara.

Terdahulu, semasa berucap pada majlis itu, Mohamad yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata, kerajaan perlu menggunakan pendekatan strategi lautan biru dalam memantau pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan termasuk menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Langkah itu bertujuan membantu petugas Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melaksanakan tanggungjawab pemantauan dan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.

"Pada masa ini, Kastam dan KPDNKK sahaja tidak mampu untuk mengawal peniaga dan peruncit seluruh negara yang terlalu besar jumlahnya, jadi kita perlu menggerakkan seperti anggota Rela atau anggota UMNO sendiri untuk membantu," katanya. - BERNAMA

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. - Foto Hazreen Mohamad

Trending

    Disyorkan