Ahad, 23 April 2017 - 1:33PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Hanis Zalikha-Hairul Azreen nikah Jumaat ini

Oleh Zaidi Mohamad



HANIS Zalikha dan Hairul Azreen akan bernikah pada 5 Jun. - Foto ihsan Hanis Zalikha

KUALA LUMPUR: Jumaat ini, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen bakal diijabkabulkan. Seperti yang diharapkan, Hanis memilih kediaman keluarganya di Bukit Jelutong untuk mengadakan majlis bersejarah itu.

Ia akan diadakan secara tertutup selepas solat Jumaat manakala majlis resepsi diadakan 14 Jun ini di Hotel Majestic, di ibu negara.

Pelakon dan pengacara cantik yang bermula sebagai penulis blog terkenal itu mengakui sangat berdebar menanti hari bakal disatukan dengan cinta hatinya.

Hanis juga berharap dua majlis yang akan berlangsung itu berjalan lancar dan diberkati.

Ikuti komen Hanis kepada BH Online di saat kesibukannya membuat persiapan berkahwin, beliau masih sudi berbalas WhatsApp dengan penulis.

"Saat untuk bergelar isteri ini sudah saya nantikan sekian lama. Paling penting dapat bersatu dengan orang yang kita cintai.

"Saya tidak sabar untuk membina rumah tangga dengannya. Ia fasa baharu yang akan kami tempuhi bersama. Malah kami bersatu sebelum Ramadan tiba dan pastinya keterujaan untuk menyambut bulan puasa dan Aidilfitri kelak sudah mula dirasai," kata Hanis.

Hanis memberitahu dia menggunakan khidmat pereka fesyen Rizalman sebagai perancang perkahwinan mereka.

"Untuk majlis nikah, saya akan gayakan rekaan Zery Zamry. Alhamdulillah, kain baju nikah itu turut mendapat tajaan Jakel.

"Terima kasih yang sudi menaja. Pada majlis resepsi pula, saya pakai baju Rizalman. Jurusolek Tiar Zainal akan menata rias saya untuk kedua-dua majlis," katanya.

Mengenai Hairul, Hanis menyifatkan tunangnya yang dikenali bermula sebagai kawan sejak 2004 itu sebagai seorang yang tebal dengan sikap nakal kerana gemar mengusik tetapi penuh dengan kematangan.


HAIRUL Azreen (kiri) bersama Hanis Zalikha. - Foto ihsan Hanis Zalikha

"Entahlah cinta kami bukan cinta monyet, tapi saya selesa kelaskannya sebagai cinta belia remaja. Biarpun nampak dia sebagai seorang yang keanak-anakan tapi dalam banyak hal dia yang putuskan segala keputusan. Termasuklah hal nak kahwin ini.

"Sebelum nak lamar dan nak kahwini saya lagi, dia sudah berhasrat mahu stabilkan diri daripada sudut ekonomi.

"Dia ambil tawaran kerja bertali arus, buat pelaburan itu dan ini selain membuka studio penggambaran sendiri untuk disewa syarikat produksi," katanya yang bertunang dengan Hairul pada 21 Mac lalu.

Pasangan ini mengejutkan industri seni selepas Hairul melamar Hanis secara langsung pada 4 Januari lalu menerusi siaran langsung pertandingan Gegar Vaganza anjuran stesen penyiaran Astro.


PEREKA fesyen Rizalman (tengah) menjadi perancang perkahwinan Hanis Zalikha dan Hairul Azreen. - Foto ihsan Hanis Zalikha


Trending

    Disyorkan