Rabu, 28 Jun 2017 - 4:42AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Purata 68 individu muflis setiap hari

Oleh Syed Azwan Syed Ali



Keratan akhbar BH 7 November tahun 2013.

KUALA LUMPUR: Purata 68 individu diisytiharkan muflis setiap hari di negara ini, meningkat 13 peratus daripada 60 orang bankrap setiap hari, tahun lalu.

Statistik terkini Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan dari Januari hingga Jun lalu, seramai 12,381 individu sudah diisytiharkan muflis atas pelbagai sebab, sekali gus membayangkan isu kebankrapan yang semakin membelenggu sebilangan rakyat Malaysia.

Malah statistik MdI sejak tahun 2007 juga menunjukkan aliran peningkatan individu muflis daripada 13,238 pada 2007, 13,855 (2008), 16,228 (2009), 18,119 (2010), 19,167 (2011), 19,575 (2012) dan 21,987 (2013) dengan keseluruhan kes bankrap bagi tempoh itu mencecah 134,550 orang.

Peningkatan kes muflis ini merunsingkan pelbagai pihak yang meminta kerajaan melakukan sesuatu sebelum ia menjadi parah.

Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan peningkatan kes muflis di negara ini sebagai 'fenomena membimbangkan'.

Katanya, apa yang lebih menggusarkan apabila majoriti individu muflis itu terdiri daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.

Statistik menunjukkan daripada keseluruhan individu muflis, 75,279 atau 55.94 peratus berumur 44 tahun ke bawah dengan kelompok 35-44 tahun menduduki jumlah individu tertinggi muflis iaitu 46,060 kes atau 34.23 peratus.

"Kerajaan perlu segerakan pindaan akta terbabit," katanya mengupas isu kebankrapan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kerajaan sebelum ini mencanangkan akan meminda Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bagi memudahkan individu muflis mendapat pelepasan kebankrapan, bagaimanapun perkara itu masih tertangguh sehingga ke hari ini.

Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, dilapor berkata, melalui pindaan itu, beberapa peruntukan alternatif akan dilaksanakan kepada pemiutang untuk mendapatkan semula hutang berdasarkan kerangka perundangan MdI, termasuk perkiraan sukarela individu dan skim pembayaran semula hutang.

Bagaimanapun, tinjauan BH dalam kalangan individu muflis mendapati kebanyakannya skeptikal mengenai pindaan itu dengan ada antara mereka mempunyai pandangan negatif terhadap MdI yang dilihat seolah-olah memihak kepada pemiutang atau bank.

Segera pinda akta

"MdI perlu melihat isu persepsi itu sebagai cabaran dengan pihak kerajaan digesa segera melaksanakan pindaan akta terbabit, termasuk menyegerakan pelaksanaan pelepasan automatik kepada penjamin sosial bagi pinjaman kenderaan atau pinjaman pendidikan," kata Sohaimi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan bekas EXCO Biro Ekonomi Pemuda UMNO yang memperjuang isu muflis bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO), khususnya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan PPIM, Sheikh Abd Kareem S Khadaied, berkata Jabatan Insolvensi perlu mengubah persepsi negatif terhadap badan itu dengan mengambil tindakan lebih proaktif dan mesra rakyat.

Subseksyen 38(1)(c) Akta Kebankrapan 1967 melarang individu diisytiharkan bankrap untuk keluar negara kecuali dengan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia.

Ketika ini, ada tiga cara bagi seseorang muflis untuk keluar daripada status bankrap, iaitu pelepasan melalui perintah mahkamah, sijil pelepasan oleh Ketua Pengarah Insolvensi atau pembatalan melalui perintah mahkamah.


Trending

    Disyorkan