Khamis, 13 Ogos 2015 | 10:01am

Guru berperanan lahir pelajar capai standard global

PENDIDIKAN adalah nadi pembangunan sesuatu bangsa dan negara. Tanpa sistem pendidikan komprehensif dan mantap sejajar dengan perkembangan zaman, sesuatu bangsa atau negara boleh dianggap sebagai gagal dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyatnya.

Oleh yang demikian, transformasi dalam pendidikan perlu dilaksanakan supaya rakyat Malaysia mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

Lantas, bagi memperkasakan sistem pendidikan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dilancarkan pada 6 September 2013. Hasrat PPPM adalah untuk meningkatkan status pendidikan negara di mata dunia supaya selaras dan sejajar dengan perkembangan yang berlaku di negara lain seterusnya dapat menjadi penanda aras di peringkat antarabangsa. Dalam usaha untuk mentransformasikan pendidikan negara, tidak dapat dinafikan peranan guru adalah paling utama. Guru umpama berlian yang memantulkan kilauan bergemerlapan dan pada ketika sama dirinya begitu bernilai.

Peranan guru mencabar

Hal demikian kerana guru adalah golongan yang berada di barisan hadapan. Susulan itu, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar untuk merealisasikan hasrat PPPM. Komitmen dan usaha mempertingkatkan kualiti pendidikan adalah sebahagian tugas utama guru bagi menjamin kualiti murid yang dihasilkan serta kesejahteraan rakyat Malaysia pada masa hadapan.

Bersandarkan kepada input inilah, maka guru memainkan peranan signifikan untuk merealisasikan PPPM dalam tempoh pada tahun 2013 hingga tahun 2025. Jadi kali ini saya ingin berkongsi dengan pendidik bagaimana guru harus memainkan peranan untuk merealisasikan PPPM dalam memikul amanah dan tugasan mereka.

Guru Berperanan Melonjakkan Kualiti Pendidikan Negara Ke Tahap Global. Bagi merealisasikan PPPM, guru memainkan peranan untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia. Dalam konteks merealisasikan hasrat PPPM ini, guru perlu memiliki satu wawasan yang unggul untuk mentransformasikan pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu berinovasi supaya mampu meningkatkan keberhasilan sekolah dan kemenjadian murid.

Hal ini jelas sekali menunjukkan bahawa guru memikul amanah yang cukup mencabar untuk menjadikan anak murid mampu bersaing di peringkat global. Lantas, sekiranya anak didik ini mampu berdiri dan duduk sama rendah dengan rakannya di negara lain di arena antarabangsa, maka guru terlebih dulu perlu mencapai standard ke tahap global supaya ilmu yang dicurahkan mengikut acuan dihasratkan dalam PPPM.

Oleh demikian, guru perlu melihat keberhasilan diri sendiri dalam konteks global kerana anak murid yang dididik pada hari ini adalah kejayaan atau kegagalan modal insan yang akan dibentuk dalam PPPM nanti. Guru perlu memastikan diri mereka dilengkapi dengan kemahiran pedagogi bersifat holistik, meneroka penggunaan model pembelajaran pelbagai mod yang memanfaatkan teknologi supaya dapat mencungkil kemahiran berfikir aras tinggi serta mengukuhkan pembelajaran murid.

Bagi mencapai tahap ini, guru perlu mencabar diri sendiri untuk memastikan pemikiran kreatif dan inovatif, pemikiran kritis dan penaakulan serta keupayaan belajar berjaya diasah oleh guru kepada anak murid sebagai persediaan mereka untuk menghadapi arus globalisasi. Kementerian Pendidikan akan sentiasa berusaha dan bertanggungjawab menyediakan kepelbagaian akses kemahiran kepada guru untuk memastikan mereka sentiasa bersiap siaga mengharungi gelombang transformasi pendidikan negara. Guru seharusnya tepuk dada tanya minda sama ada perlu mengharungi gelombang transformasi ini dengan fikiran positif atau sebaliknya. Jelaslah peranan guru menjadi keutamaan untuk melonjakkan sistem pendidikan negara supaya mampu bersaing di arena antarabangsa.

Guru perlu memiliki iltizam tinggi untuk menguasai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Memetik kata-kata Pendeta Za'aba yang menegaskan bahawa ilmu pengetahuan adalah asas terpenting yang menyelamatkan manusia daripada belenggu kemunduran. Justeru, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu dimantapkan supaya kita kekal relevan dalam persaingan menuju negara maju.

Guru juga harus berani meneroka pelbagai cabang ilmu untuk mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran berkesan. Sehubungan itu, Anjakan Transformasi Ketujuh iaitu memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah harus disambut dengan minda positif oleh guru. Dalam PPPM, satu penanda aras dikenali sebagai Standard Teknologi Pendidikan Kebangsaan (NETS) memerlukan semua guru di bilik darjah mencapai standard iaitu memudah dan mencetus inspirasi pembelajaran serta kreativiti murid.

Selain itu, guru juga perlu mereka bentuk dan membangunkan pengalaman pembelajaran serta pentaksiran era digital. Oleh yang demikian, guru perlu mampu mempamerkan cara bekerja dan mengajar era digital. Dalam situasi sama, guru juga perlu mempromosikan serta menjadi model masyarakat digital yang bertanggungjawab. Selanjutnya, guru perlu membabitkan diri dalam pembangunan dan kepemimpinan serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.

Situasi ini menunjukkan komitmen Kementerian Pendidikan adalah tidak berbelah bahagi dalam usaha mempersiapkan generasi muda dan guru ke tahap global. Bagi memastikan guru menjadikan amalan terbaik dalam pedagogi, Kementerian Pendidikan telah mewujudkan satu perpustakaan video pengajaran guru melalui Video e-Guru bagi membantu guru yang memerlukan inspirasi untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran mereka.

Guru perlu jadi suri teladan

Kementerian Pendidikan telah menyediakan segala akses itu, maka guru perlulah bersedia membuka minda untuk menjadikan kemahiran ICT sebagai amalan terbaik dalam pedagogi. Manakah mungkin ilmu boleh disalurkan kepada anak murid jika sekiranya guru dangkal dan cetek mengenai medium ilmu itu yang perlu disebarluaskan. Justeru, guru harus membuat refleksi mengenai tahap kompetensi masing-masing supaya seiring dengan dasar langit terbuka dunia masa kini.

Lebih daripada itu, guru perlu menjadi suri teladan untuk penghayatan nilai dan perpaduan dalam kalangan murid seperti mana yang ada dalam hasrat PPPM ini. Hasrat itu telah diterjemahkan dalam Anjakan Transformasi Ketiga iaitu melahirkan rakyat yang menghayati nilai. Anjakan ini tentunya menjadi keutamaan untuk membangunkan murid secara holistik. Generasi hari ini bakal mewarisi dunia yang penuh dengan pelbagai cabaran hebat dari kemusnahan alam sekitar, impak globalisasi hinggalah kepada konflik pembangunan.

Kita semua menyedari bahawa penghayatan nilai rohani adalah salah satu tonggak utama dalam pendidikan. Sementara masyarakat ghairah mengejar kemajuan duniawi, pembentukan insan yang beriman dan bersahsiah mulia seharusnya tidak disisihkan. Berdasarkan PPPM, setiap murid menghabiskan lebih satu perempat daripada masa mereka di sekolah semasa mereka berusia 7 tahun hingga 17 tahun.

Dalam tempoh ini, sekolah menjadi institusi penting untuk penghayatan nilai dan pemupukan perpaduan. Guru bukan saja harus berperanan sebagai suri teladan kepada murid dalam apa juga tindakan dan tingkah laku mereka, malah turut bersama memikul hasrat Kementerian Pendidikan untuk menghasilkan murid yang dibangunkan dengan identiti nasional yang kukuh melalui pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum serta aspek pembangunan sahsiah murid. Oleh yang demikian, guru perlu melihat peranan ini bukan saja sebagai amanah untuk aset pembangunan negara, malah juga turut disemai sebagai satu tanggungjawab kepada penciptaNya.

Persoalannya, apakah yang hendak dicapai daripada peranan guru untuk anjakan transformasi ini? Sudah pastilah setiap murid yang meninggalkan alam persekolahan adalah seorang warga global yang dipupuk oleh guru dan institusi sekolah dengan nilai teras sejagat dan memiliki identiti nasional yang utuh. Selain itu, setiap murid yang menamatkan alam persekolahan bersedia menjadi pemimpin bagi diri, keluarga, organisasi serta negara, seterusnya bersaing di persada antarabangsa. Bagi menghasilkan acuan ini, guru perlulah melihat betapa besarnya amanah yang harus dipikul oleh mereka kerana generasi di hadapan kita hari ini, bakal melakarkan keberhasilan negara dalam aspek landskap kepemimpinan negara dan sumbangannya di arena antarabangsa.

Sayugia diingatkan bahawa PPPM adalah transformasi pendidikan negara yang menjadi salah satu usaha untuk mencapai misi negara. PPPM akan terus kaku dan terkunci sekiranya tidak berlaku anjakan paradigma pada semua peringkat yang merangkumi pusat, negeri, daerah, sekolah, guru, ibu bapa dan murid. Semua peringkat itu perlu memahami dengan teliti mengenai hasrat Kementerian Pendidikan supaya tidak berlaku ketirisan maklumat dan fungsi masing-masing.

Dengan usaha yang bersungguh-sungguh melalui transformasi bersepadu ke atas setiap pihak berkepentingan, sudah pasti sistem pendidikan negara mampu menangani cabaran yang sentiasa berubah pada abad ke-21. Sesungguhnya, keghairahan untuk meningkatkan kualiti pendidikan seharusnya menjadi slogan dan iltizam kepada warga guru kerana di bahu mereka terletak anak-anak murid yang mempunyai pelbagai tahap keupayaan untuk bersaing di peringkat global. Mudah-mudahan hasrat murni sistem pendidikan di Malaysia menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan untuk memastikan sistem pendidikan di negara kita menjadi antara yang gemilang di dunia.

Penulis ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Berita Harian X