Khamis, 27 April 2017 - 11:21AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kadar tol serata tak sesuai - Abdul Wahid


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar turut serta mengambil bahagian dalam larian kategori 5 km STATSRUN 2015 sempena World Statistics Day 2015, di Dataran Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengamalkan pendekatan mengenakan kadar tol lebuh raya yang serata atau tetap tanpa sebarang kenaikan seperti yang diamalkan di sesetengah negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, pendekatan kadar tol yang serata akan menyebabkan bayaran tol yang dikenakan adalah tinggi sejak dari awal penggunaan lebuh raya.

"Malaysia mengambil pendekatan di awal penggunaan kadar tol adalah rendah dan membenarkan syarikat konsesi meningkatkannya pada setiap tiga tahun atau lima tahun," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu kenaikan tol di 12 lebuh raya di Lembah Klang yang diumumkan baru-baru ini.

Abdul Wahid ditemui selepas menyertai lebih 4,000 peserta larian Statsrun 2015 anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putrajaya di sini hari ini. Larian ini diadakan bersempena Hari Statistik Sedunia pada 20 Oktober.

Beliau berkata, peningkatan kadar tol bergantung kepada kos pembinaan, kos pembiayaan dan pembayaran balik hutang yang diambil oleh syarikat konsesi kepada pembiaya.

Abdul Wahid berkata, kenaikan kadar tol dibenarkan berdasarkan unjuran kewangan syarikat konsesi iaitu unjuran trafik berbanding kos pembinaan, kos penyelenggaraan dan kos pembiayaan.

Baru-baru ini, 12 syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6 berkuat kuasa Khamis, 15 Oktober.

Ia melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Maju Expressway, Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong.

Turut terlibat ialah Lebuhraya KL-Kuala Selangor, Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Kajang Seremban, Lebuhraya Damansara-Puchong, Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat dan Lebuhraya Cheras-Kajang.

- BERNAMA


Trending

    Disyorkan