Khamis, 25 Mei 2017 - 1:52AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Hubungan erat ASEAN-China kunci keamanan, kemakmuran - Zahid

Daripada Salina Abdullah



TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA

LONDON: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata hubungan erat ASEAN-China adalah kunci untuk keamanan dan kemakmuran di Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk tujuan itu, setiap negara terbabit perlu bekerjasama bukan sahaja dalam aspek ekonomi, malah melaksanakan strategi untuk mengekang dan menangani konflik yang sememangnya banyak berlaku di Laut China Selatan.

Bercakap dalam ucaptamanya yang bertajuk 'Meningkatkan Hubungan China-ASEAN Untuk Kemakmuran Bersama' pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia (WCES) Ketujuh, di sini, sebentar tadi, beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Sidang Kemuncak China-ASEAN, akan memainkan peranan sebaiknya menggalakkan kerjasama serantau dan pada masa sama, mengekalkan keamanan dan keselamatan di Laut China Selatan.

"Saya yakin Malaysia mampu memimpin ASEAN dan meningkatkan hubungan dua hala dengan China, merangkumi pelbagai aspek, khususnya integrasi ekonomi serta aspek keselamatan serantau.

"Usaha ini akan meruntuhkan benteng atau apa sahaja kekangan yang ada, sekali gus memberitahu dunia bahawa ekonomi China, negara ASEAN dan seluruh bahagian di dunia dapat dimanfaatkan setiap pihak yang terbabit," katanya, sebentar tadi.

Ini adalah kali pertama WCES yang dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) diadakan di luar rantau Asia Pasifik, dengan kerjasama Asia House, yang berpangkalan di London.WCES 2015 dengan tema 'China dan Dunia: Menjalin Kerjasama Euro-Asia Untuk Kemakmuran Bersama', bertujuan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi di antara China, negara Asia Tenggara dan Eropah.WCES 2015 juga akan memberi penekanan mengenai kepentingan pasaran rantau ASEAN.

Dengan kepadatan penduduk lebih 600 juta dan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) kira-kira AS$2.4 trilion (RM10.46 trilion), ASEAN juga dilihat sebagai satu kuasa besar dalam ekonomi dunia.

Pelancaran Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada bulan depan, yang mengiktiraf ASEAN sebagai pasaran tunggal dan negara pengeluar akan menjadikan rantau ini lebih dinamik dan berdaya saing.

WCES 2015 juga akan mengkaji impak pelaburan luar China terhadap pertumbuhan ekonomi global.

Ketika ini, UK menjadi pilihan utama untuk pelaburan bagi syarikat China. Tahun lalu sahaja, pelaburan China di UK berjumlah AS$40 bilion (RM174.34 bilion).

Di samping itu, persidangan ini akan menilai peranan diaspora China (rakyat China di luar negara) atau lebih dikenali sebagai rangkaian buluh (bamboo network), yang banyak memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi di kebanyakan negara luar, dapat dipertingkatkan dengan menjana peluang perniagaan dan pelaburan baharu.

Berdasarkan rekod, rakyat China terdapat di lebih 100 negara di seluruh dunia dan menyumbang 60 peratus daripada aliran wang luar negara (FDI) ke China.


Trending

    Disyorkan