Bermulanya era penulisan Faizal Tahir
faizaltahir@bharian.com.my

ASSALAMUALAIKUM dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW di atas kesempatan dan peluang yang diberikan kepada saya untuk menulis dalam ruangan ini.

Tidak sangka. Peluang ini tidak mungkin dapat diperoleh tanpa kepercayaan dan sokongan yang diberikan pihak pengurusan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), lebih-lebih lagi pasukan akhbar sisipannya, Bintang Popular (B*Pop) yang tidak henti-henti menjemput saya menjadi kolumnis mereka.

Sejujurnya sewaktu pertama kali saya ditawarkan untuk menjadi penulis jemputan untuk ruangan ini, saya berasa amat terharu dan menganggapnya sebagai satu penghormatan cukup besar dalam kerjaya seni saya yang baru berusia setahun jagung ini.

Bayangkan ketika tawaran itu datang bertandang, saya sedang sibuk melayan rakan media yang mengucapkan tah niah atas kejayaan saya menang beberapa trofi dalam Anugerah Industri Muzik Ke-14 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Pada post party malam itu, tiba-tiba Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Manja Ismail dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah atau Kak Cham melontarkan hasrat mahu menjadikan saya kolumnis dalam akhbar sisipan ini. Awalnya, saya tidak mengambil endah perkara itu kerana mungkin mereka cuma bergurau dengan saya.

Selang beberapa minggu kemudian, Kak Cham menelefon kembali dan menyampaikan hasrat itu. Ya Tuhan... ini bukan gurauan, bisik hati saya. Pada mulanya, memang berat hati saya untuk menerima pelawaan ini. Bukannya apa, tetapi sebagai seorang yang masih `hijau' dan baru dalam industri hiburan tanah air, terasa sangat diri ini masih banyak yang perlu dipelajari dan diharungi.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan dalam industri hiburan yang penuh cabaran ini, banyak yang sudah saya pelajari dan lalui dalam tempoh sesingkat dua tahun ini. Memang saya mengambil waktu yang agak lama untuk membuat keputusan sama ada untuk menerima atau tidak pelawaan ini. Sehinggakan ketika minum petang bersama Kak Cham, Pengarang BiPop, Akmal Abdullah dan Penolong Pengarang Hiburan, Zainuri Misfar, minggu lalu, saya masih mengharapkan bahawa ini cuma satu mimpi.

Oh tidak! Mereka serius rupa-rupanya. Melihat wajah mereka yang sentiasa memberi sokongan dalam kerjaya yang saya ceburi, minati dan cintai, mana mungkin saya berkata "tidak".

Lagipun dalam usia saya dalam industri ini, bukanlah satu alasan untuk saya menolak tawaran ini. Sudah pasti saya melihat ini sebagai satu cabaran dan tanggungjawab besar yang akan saya pikul dengan sebaik mungkin.

Seperti mana juga muzik saya, tiga elemen yang memainkan peranan yang amat penting dalam apa jua kerja yang saya lakukan adalah diri saya sendiri, industri hiburan kita dan juga masyarakat di sekeliling. Setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza. Tidak pernah ada salah untuk sesiapa pun memberikan pandangan tersendiri, malah lebih banyak pandangan yang dapat kita kumpul, lebih besar peratus untuk kita memperbaiki sesuatu keadaan itu.

Inilah yang dapat saya lihat melalui tugasan baru yang saya terima ini. Hari ini, saya membuka lembaran baru bersama semua pembaca setia B*Pop dan industri hiburan tanah air.

Harapan saya, nukilan yang saya anggap sebagai 'ice-breaker' ini dapat membawa kita semua untuk bersatu memperjuangkan dan meningkatkan martabat industri hiburan kita. Jika ini langkah bagi saya menyumbang kepada kebaikan industri, maka saya mulakan tugasan baru saya ini dengan lafaz `Bismilla hirrahmanirrahim'.

Insya-Allah, kita bertemu lagi dengan topik sulung saya dalam nukilan seterusnya. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada BHSB di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya ini. Wassalam.