Peminat bagaikan 'nyawa' artis

ASSALAMUALAIKUM dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah, saya kembali menulis minggu ini dengan satu topik yang saya fikir penting untuk kita semua ambil tahu. Selepas hampir dua tahun berkecimpung dalam industri muzik, pelbagai cabaran dan situasi sudah saya lalui. Ada pahit, manis, susah dan senang. Ini pasti dilalui setiap insan bergelar public figure, malah ia sebahagian kehidupan mereka. 'It's all part and parcel' kehidupan kita.

Namun, dalam setiap cabaran, dugaan atau apa saja situasi yang ditempuh seseorang artis itu, mungkin ramai terlepas pandang 'orang kuat' atau orang penting yang membantu mempengaruhi naik turunnya mereka. Apa yang saya maksudkan ialah kelompok peminat seseorang artis. Terlalu banyak contoh insiden atau situasi yang melanda seseorang artis boleh kita bangkitkan. Tidak perlu pergi jauh, malah saya sendiri pernah menghadapi saat getir dan menghampakan dalam perjalanan seni saya.

Peminat seperti `nyawa’ atau `udara’ yang diperlukan setiap artis. Tidak mungkin seseorang public figure mampu pergi jauh tanpa penyokongnya. Bagaimanapun, saya percaya ada sesetengah pihak mungkin terlepas pandang perkara ini. Tidak kiralah bagaimana susahnya seorang artis itu mahu mula membina kerjayanya. Tidak mustahil, bermula dengan hanya seorang peminat, seseorang itu boleh sampai ke satu tahap yang tidak terduga.

Terus terang kalau hendak dikatakan, tidak terbalas jasa peminat kepada seseorang artis itu. Saya sendiri pernah termenung dan sebak memikirkan segala sokongan, kepercayaan, doa dan semangat yang diberikan peminat kepada diri saya. Pada waktu saya menghadapi saat sangat mencabar dan menduga diri, tidak mustahil saya mampu berputus asa dan menyerah kalah kepada industri yang penuh liku-liku dan cabaran ini. Apatah lagi kehidupan seseorang artis itu sangat terdedah luas kepada pelbagai kritikan dan sindiran masyarakat luar.

Peminat inilah akan menjadi tiang-tiang yang mengukuhkan kerjaya dan perjalanan kami yang bergelar public figure ini. Fenomena ini jelas terbukti dengan penubuhan kelab peminat untuk setiap artis kesayangan mereka. Ini dapat kita saksikan dengan lebih jelas melalui program realiti televisyen seperti One In A Million, Akademi Fantasia, Gangstarz, Raja Lawak dan banyak lagi.

Pernahkah setiap artis itu meminta untuk ditubuhkan satu kelab peminat untuk mereka? Percayalah, penubuhan setiap kelab peminat itu adalah melalui inisiatif peminat artis itu sendiri. Lihat sendiri kedudukan Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Amy Search, M Nasir, Ella dan ramai lagi artis ternama dengan adanya sokongan cukup padu daripada peminat setia mereka.

Saya sendiri tidak mungkin mencapai segala apa yang telah saya kecapi dalam kerjaya muzik ini tanpa sokongan kuat daripada 'Rockensteiners' saya. Merekalah tulang belakang saya seperti 'public figure' lain. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana pada saya, saya mempunyai fan club dan peminat yang tidak pernah jemu menyokong dan memberi semangat kepada saya.

Saya sangat bertuah dan tidak salah sekiranya saya mengatakan saya mempunyai peminat dan penyokong terbaik yang boleh diharapkan oleh seseorang artis itu dan mungkin 'the best and strongest fan club I can imagine'... Inilah 'Rockensteiners'!

Sokongan, kepercayaan, doa dan semangat - empat perkara sangat penting dalam perjalanan serta kerjaya seseorang artis. Inilah empat perkara yang dicurahkan dan diberikan kepada kami golongan artis daripada anda semua. Inilah empat perkara yang menentukan kejayaan kami. Inilah empat perkara yang tidak mungkin kami dapati dari mana-mana melainkan dari anda yang menyokong kami. Terima kasih semua.