Alam Maya: Terkenang detik awal berlakon filem

Maya bersama Jeslina (kiri) dan Hairie Othman (kanan) dalam filem Seri Dewi Malam.

Penyertaan dalam festival filem antarabangsa buka mata Maya Karin bahawa fi lem adalah produk budaya

ASSALAMUALAIKUM. Salam sejahtera! Hi, apa khabar semua? Bertemu lagi dalam ruangan ini. Kali ini saya ingin menyentuh mengenai penganjuran Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang tentu sudah mula terasa bahangnya. FFM21 akan diadakan dari 7 hingga 9 Ogos ini, tempatnya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Saya nak cerita sikit mengenai pengalaman saya dalam FFM. Pertama kali saya terbabit dalam FFM pada 2001 apabila nama saya dicalonkan dalam kategori Pelakon Harapan untuk filem Seri Dewi Malam. Yang kelakarnya, saya hanya mendapat tahu mengenai pencalonan itu selepas saya mengetahui kekalahan saya di tangan Jeslina Hashim. Sesungguhnya waktu itu adalah cabaran untuk saya apabila berhadapan dengan komen kurang memberangsangkan oleh pihak media. Watak Seri lakonan saya dikatakan tidak mencabar keupayaan seorang pelakon kerana kebanyakan adegan yang menampilkan saya, saya berada dalam keadaan koma.

Pengalaman berlakon filem di peringkat awal mengajar saya untuk terus bersemangat dan semakin ‘passionate’ untuk memperbaiki diri dan betul-betul mencari kebolehan diri sendiri.

Sejak itu, alhamdulillah, sedar tak sedar sudah tiga kali saya tercalon bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM), PHSM 2 serta Waris Jari Hantu. Biarpun saya masih belum pernah menang, saya tak keberatan jika saya menang dalam kategori ‘Pencalonan Paling Banyak’ seperti Meryl Streep dalam Anugerah Akademi J.

Namun, tak sangka ya… lakonan saya sebagai pontianak membawa kesan di luar negara apabila memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik di Fukuoka, Jepun pada 2004 dan filem ini juga menang Filem Terbaik di Estepona Fantasy & Horror Film Festival di Malaga, Sepanyol pada 2005. Those were very special moments for me!

Memori pembabitan saya dalam festival filem antarabangsa adalah sesuatu yang exciting dan sukar dilupakan. Di samping aktiviti yang padat, maklumlah dengan diskusi, debat, pertunjukan filem dan sudah tentu malam anugerah, namun saya dan rakan masih sempat mencuri masa untuk aktiviti bersiar-siar dan shopping sakan!

Antara pengalaman lucu yang tak dapat dilupakan ialah sewaktu saya dan seorang rakan artis terpaksa memakan nasi sejuk dan serunding di tengah malam di lantai bilik hotel kami di Jepun, gara gara susah mendapat makanan halal di sana. Insiden seperti ini memberikan saya pengalaman indah dan manis untuk diingati. Its not just about the red carpet!

Saya akui, menyertai festival filem antarabangsa berjaya membuka mata saya bahawa filem adalah produk budaya. Namun secara peribadi ia juga ruang untuk saya berkenalan dan bertemu karyawan dari serata dunia. Antara yang sempat saya kenali ialah pengarah filem Nang Nak yang kini sudah menjadi sahabat saya dan baru baru ini menjemput saya ke premier filem terbarunya di Thailand.

Kembali pada festival filem tempatan, tahun ini secara peribadi saya sangat gembira kerana tiga filem lakonan saya akan bertanding dalam FFM21. Filem berkenaan ialah Anak Halal arahan Osman Ali, 1957: Hati Malaya (Shuhaimi Baba) dan Duyung (Prof Madya Razak Mohaideen).

Biarpun saya secara fizikal tidak dapat memberikan sokongan kerana berada di Itali pada tarikh berkenaan kerana majlis pernikahan saya, namun seperti tahun sebelum ini, saya berharap bahawa ketiga-tiga filem itu akan memperoleh kejayaan di FFM21 kelak. But in the spirit of the film festival, good luck kepada semua filem yang bertanding!

Bagaimanapun, festival filem bukanlah hanya penganugerahan khas untuk karyawan filem semata-mata. Ia adalah ruang untuk orang ramai merasai sendiri ‘the power of movies’ serta secara tak langsung mendapat pengalaman budaya serta ruang memperkenalkan budaya masing-masing.

Saya galakkan orang ramai untuk turun ke lokasi terpilih FFM2. Ambil kesempatan untuk menonton filem tahun terdahulu yang mungkin tidak sempat ditonton sebelum ini. Boleh juga sama-sama memberikan pendapat serta buah fikiran dalam forum, diskusi dan simposium yang diadakan sempena FFM21.

Kepada seluruh generasi rakyat Malaysia, marilah sama-sama mengambil bahagian dan turut serta meraikan FFM21. Sokonglah filem dari negara kita. Saya berasakan pembabitan orang ramai akan membuatkan FFM21 lebih ‘alive’ & ‘vibrant’. Ini adalah satu ‘avenue’ untuk bertukar-tukar idea, perspektif & budaya.

Saya yakin ramai golongan muda mudi yang sangat berminat untuk terbabit secara langsung dalam industri perfileman Malaysia. Jadi, saya berharap kepada sesiapa menyimpan angan-angan untuk terbabit secara serius akan mengambil peluang ini untuk meluaskan pengetahuan mereka mengenai dunia filem dan bertemu karyawan seni serta cuba mendengar selain berkongsi pengalaman dengan mereka.

Jangan lupa, ada banyak filem yang anda boleh menonton secara percuma. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web http://www.finas.gov.my. Sekian saja untuk minggu ini. Mudah-mudahan kita bertemu lagi dalam ruangan ini, bye!