MTV Asia Awards iktiraf industri muzik Malaysia
Oleh Faizal Tahir

Linkin Park

Kehadiran MTV Asia Awards 2008 di negara ini memang tepat pada masanya, ketika industri kita sedang berkembang dengan baiknya

ASSALAMU'ALAIKUM dan Salam Sejahtera. Minggu ini saya mahu membicarakan mengenai penganjuran MTV Asia Awards 2008 yang pertama kali berlangsung di Malaysia. Ketika saya menulis kolum ini pada 31 Julai lalu, kurang dari 48 jam majlis pengiktirafan berprestij itu akan berlangsung di Kota Keriangan - Genting Highlands.

Kita semua tentunya tahu bahawa ini satu acara yang cukup berprestij kerana membabitkan artis ternama di seluruh dunia.

Menariknya, walaupun MTV Asia Awards 2008 lebih bertumpu kepada pengiktirafan kelompok artis dari Asia, namun artis terkenal dari Barat turut `turun padang’ untuk memberikan sokongan mereka terhadap acara itu, Contohnya, Jared Leto dari kumpulan muzik popular, 30 Seconds To Mars, selain Leona Lewis, Linkin Park, Nicole Scherzinger, Panic At The Disco dan ramai lagi. Ini hanya membuktikan satu perkara - muzik mampu menyatukan kita tidak kira apa bangsa sekali pun dan dari ceruk mana kita datang.

Penganjuran MTV Asia Awards 2008 di Malaysia adalah satu kejayaan cukup besar buat negara kita khususnya bagi industri hiburan tanah air. Ia mencatatkan sejarah baru kerana inilah pertama kalinya kita berjaya menganjurkan satu acara yang membawa satu 'brand name' yang cukup besar dan sinonim dalam dunia muzik.

Bagaimanapun, saya tidak mungkin mengatakan bahawa MTV Asia Awards 2008 adalah acara terunggul untuk anak-anak seni kita. Kita masih mempunyai acara dan anugerah tersendiri yang cukup berprestij dan mempunyai satu tahap boleh saya katakan `in a class of it's own’.

Contoh terbaik adalah seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Era. Namun yang penting dalam penganjuran MTV Asia Awards adalah peluang terbuka kepada industri kita untuk membuktikan kredibiliti dan kemampuan anak seni tempatan.

Dalam erti kata lain, inilah waktunya untuk kita membuka mata dunia terhadap bakat dari Asia, terutama Malaysia.

Kehadiran MTV Asia Awards 2008 di negara ini memang tepat pada masanya, ketika industri kita sedang berkembang dengan baiknya. Lupakan mengenai penjualan album yang lembap. Lupakan pasal kehadiran artis luar yang memonopoli pasaran muzik kita. Lihat sendiri anak-anak seni kita yang telah membuktikan kehebatan mereka seperti Hujan, Meet Uncle Hussain, Jaclyn Victor, Anuar Zain, Reshmonu, Dayang Nurfaizah, Suki, Aizat dan Stacy.

Ini cuma segelintir daripada mereka yang saya percaya mampu mengharumkan nama Malaysia jika diberi peluang untuk melebarkan sayap mereka ke luar... this our time to shine!.