Industri muzik kita belum merdeka

ASSALAMU'ALAIKUM dan salam sejahtera buat semua pembaca setia B*Pop. Harapan saya supaya anda semua berada dalam keadaan sihat hendaknya. Alhamdulillah, sekali lagi saya berpeluang menulis dan berkongsi pandangan dengan anda semua minggu ini.

Jika sebelum ini saya lebih banyak menulis mengenai perkara umum berkaitan dunia hiburan, kali ini saya rasa kita semua patut mengambil tahu satu isu di kalangan artis dan karyawan muzik tanah air baru-baru ini.

Selasa lalu, satu perhimpunan khas diadakan membabitkan penyanyi, komposer, ahli muzik dan penggiat industri muzik. Antara nama besar yang hadir termasuklah M. Nasir, Aidit Alfian dan tidak ketinggalan artis popular seperti Hujan, Dayang Nurfaizah, Neves Pretty Ugly, Fazli Zainal dan Spider.

Ia yang dianjurkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bertujuan mendapatkan tandatangan artis dan ahli muzik sebagai memorandum untuk diserahkan kepada kerajaan bagi meminta kuota penyiaran lagu tempatan dilebihkan berbanding lagu artis luar.

Pelbagai hujah dikeluarkan sehingga berlaku pertengkaran kecil antara beberapa tetamu yang hadir. Wajarkah situasi sebegini berlaku? Ya, demi kebaikan industri kita. Pertengkaran yang mampu menaikkan taraf dan kualiti industri kita, yang mampu menyatukan kita semua. Namun, pertengkaran yang mampu menyatukan orang dalam industri ini jarang berlaku.

Sebaliknya wujud 'puak' antara kita. Ini sangat merisaukan saya dan orang dalam industri ini. Perkara sebegini bukan baru. Tidak kiralah apa yang ingin kita perjuangkan, perbetulkan atau perbahaskan. Pada saya, semuanya bergantung kepada mentaliti atau cara kita berfikir. Cerminlah diri sendiri dulu. Tepuk dada tanya selera. Dalam apa jua masalah, faktor paling penting yang harus diteliti adalah akar umbi sesuatu situasi itu.

Dalam konteks ini, akar umbinya adalah diri sendiri. We need to get to the roots. Apa yang kita mahukan? Ke manakah hala tuju kita? Matlamat? Semuanya bermula dengan diri sendiri. Karyawan meminta kuota lagu yang dimainkan di radio dirombak semula kepada 90 peratus lagu tempatan dan cuma 10 peratus untuk lagu luar. Ini bagi saya satu langkah baik. Bagaimanapun, untuk memajukan industri hiburan ini bukanlah semudah setakat merombak semula kuota siaran lagu di radio.

Malah, banyak perkara lain yang harus diteliti termasuk kualiti penulisan lagu, produksi, strategi pemasaran, penjenamaan dan banyak lagi.

Adakah kita tidak mempunyai komposer yang cukup bagus dan mampu menghasilkan lagu berkualiti? Adakah proses produksi kita tidak secanggih mereka? Adakah kita silap dalam strategi memasarkan muzik kita?