Gangstarz berjaya capai matlamat

One Nation Emcees pamer persembahan memukau untuk muncul juara Gangstarz Muzim Ke-2.

ASSALAMU'ALAIKUM dan salam sejahtera. Bertemu kembali dalam nukilan saya minggu ini. Alhamdulillah, Ahad lalu selesai sudah Konsert Final Gangstarz Musim Ke-2 yang berlangsung dalam suasana penuh meriah di Stadium Malawati, Shah Alam. Saya rasa sungguh bertuah kerana terbabit dalam rancangan berkualiti, khusus dalam mencungkil bakat baru bidang nyanyian yang popular di peringkat serantau.

Jutaan terima kasih kepada semua warga kerja Gangstarz musim ini, khususnya mereka yang menaruh kepercayaan kepada saya yang masih baru dalam dunia hiburan ini. Terima kasih tidak terhingga kepada Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan kerana membenarkan dan memberi kepercayaan kepada saya selama dua musim berturut-turut sebagai pengacara bersama rancangan ini. Juga terima kasih kepada teman pengacara saya, Fara Fauzana, yang begitu profesional dan bekerjasama dengan cukup baik bukan hanya dengan saya, tetapi dengan seluruh warga kerja Gangstarz.

Juaranya kita sudah tahu... One Nation Emcees. Tahniah kepada mereka. Saya rasa tidak perlu ada pertikaian lagi dalam pemilihan mereka sebagai juara kali ini. Namun, yang penting adalah hala tuju dan perancangan mereka selepas bergelar juara ini. Kalau bijak, mereka sudah tentu tahu apa yang patut dilakukan. Kalau tidak, ramai yang sentiasa terbuka untuk membantu menunjukkan jalan. Saya selalu berfikiran, untuk berjaya kita harus tahu apa yang kita mahukan.

Yang paling penting, kita harus tahu apa yang kita lakukan... never do something just because you have to do it. Saya masih ingat lagi bagaimana begitu banyak persepsi yang kurang positif terhadap keputusan Gangstarz Musim Ke-2 untuk menyerapkan dua lagi negara tambahan kali ini.

Akhirnya, dengan strategi betul dan tenaga kerja cukup kuat bekerja, musim kedua rancangan ini berjaya membuktikan ia mampu menyumbangkan satu impak positif kepada industri muzik kita. Setiap yang baru itu harus menghadapi saat getir untuk mencapai sesuatu yang positif. Saya percaya kehadiran kumpulan dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura membuka mata banyak pihak dan menyedarkan kita sebenarnya ada bakat muda yang mampu bersaing. Alhamdulillah.

Di sini juga, saya ingin menyatakan bahawa berakhirnya Gangstarz Musim Ke-2, maka berakhirlah juga kerjaya singkat saya sebagai seorang pengacara. Jangan salah faham. Bukan saya tidak suka dengan kerja ini. Namun, saya harus berterus terang dan menyatakan ia bukanlah tujuan saya menceburkan diri dalam dunia hiburan ini. Saya pernah merasa tidak yakin menjadi seorang pengacara. In other words, it's just not my thing.

Bagi mereka yang tertanya-tanya, saya hanya mampu menjawab yang saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya muzik saya. Ketika mula-mula membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang ini, niat dan matlamat saya adalah untuk memberi sumbangan sebanyak dan sebaik mungkin kepada industri muzik tanah air.

Saya tidak nampak apa yang saya katakan tadi sewaktu saya menjadi pengacara. Saya sering tertanya-tanya, apakah sumbangan yang sudah saya berikan kepada industri muzik kita dengan kerja saya sebagai pengacara?

With all due respect, hosting is a very high-profile and respectable job . Percayalah, bukan mudah menjadi seorang pengacara yang begitu baik seperti Aznil Haji Nawawi, Farah Fauzana, Ally Iskandar, Faizal Ismail, Cheryl Samad dan AC Mizal. Namun pada setiap minggu naluri saya mengatakan bahawa saya yang mahu dipanggil ke atas pentas itu untuk membuat persembahan dan menghiburkan penonton semua. That is how passionate i am with music .

Bagaimanapun, saya harus mengakui bahawa selama dua tahun menjadi pengacara Gangstarz, ia banyak membantu meningkatkan tahap keyakinan diri saya. Insya'Allah, apa yang saya dapat sewaktu bergelar pengacara akan saya gunakan untuk memperbaiki kelemahan diri selama ini.

Akhir kata, terima kasih kepada semua yang menyokong dan tahniah sekali lagi kepada semua kumpulan yang telah memberikan yang terbaik sewaktu Gangstarz Musim Ke-2. Saya doakan industri muzik kita berkembang maju seiring sambutan kemerdekaan ke-51 negara kita.

Selamat Hari Kebangsaan ke-51 kepada semua dan juga selamat mengharungi Ramadan Al-Mubarak kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga ibadah kita dalam bulan mulia ini pada tahun ini membawa lebih banyak keberkatan daripada Allah SWT.

Sehingga bertemu lagi, Wassalam.