
Noryn Aziz
|
Kualiti produksi, lagu, lirik dan strategi pemasaran muzik kita perlu dipertingkat
Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera buat semua pembaca setia B*Pop. Alhamdulillah, sudah dua minggu umat Islam menyambut Ramadan al-Mubarak. Semoga ibadat puasa serta semua amalan kita di bulan yang mulia ini diterima dan mendapat keredaan Allah SWT.
Selalunya, bagi golongan artis, Ramadan adalah bulan yang kurang sibuk dan inilah waktunya untuk kami menumpukan perhatian kepada perkara yang mungkin tidak dapat kami lakukan sebelum ini. Malah, Ramadan juga adalah waktu artis mengambil kesempatan berehat daripada kerja seni dan melebihkan masa dengan amal ibadat yang tidak dapat dicari dalam bulan lain khususnya puasa dan solat tarawih.
Bagaimanapun, ini bukanlah bermaksud dunia hiburan kita terus menyepi begitu saja tanpa berita menarik atau isu semasa yang tidak kurang mendapat perhatian. Antaranya, usaha Persatuan Karyawan Malaysia yang masih memperjuangkan hak ke atas siaran lagu tempatan yang harus dilebihkan berbanding lagu luar. Saya pernah memberi pandangan saya mengenai isu ini dan tidak perlulah mengulanginya lagi.
Cuma seperti pernah dikatakan sebelum ini, tidak usahlah berlebih dengan isu ini. Bukan saya tidak sokong, cuma langkah itu bukanlah penyelesaian 100% kepada isu industri muzik kita semakin kelam. Banyak perkara lain harus diteliti. Contohnya kualiti produksi kita, karya penulisan lagu dan lirik kita, strategi pemasaran dan banyak lagi, semuanya di tangan `orang muzik’ kita. Setiap orang memainkan peranan tersendiri.
Janganlah kita menyalahkan pihak luar yang sudah terbukti hasil kerja mereka memang bagus dan mendapat permintaan yang banyak di sini. Ambillah sebagai satu iktibar dan cabaran dan perbaikilah kelemahan diri. Tepuk dada tanya selera.
Satu lagi isu yang saya rasa perlu saya sentuh adalah pertikaian kemenangan penyanyi Noryn Aziz dalam pertandingan menyanyi antarabangsa di Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini. Sebagai rakan seperjuangan dalam industri ini, saya turut berasa simpati dengan nasibnya dan sangat kesal dengan tindakan pihak tertentu yang cuba memperlekehkan dan mempertikai kemenangan beliau.
Mengapa ini harus berlaku? Sedangkan kita semua tahu kemampuan Noryn dalam bidang nyanyian. Beliau bukan orang baru, malah sudah lama mengharungi liku dunia hiburan tempatan. Adakah hanya beliau rakyat Malaysia, macam-macam persoalan boleh dibangkitkan.
Saya cuma mahu mengatakan bahawa saya cukup bangga dengan pencapaian penyanyi kita di luar Malaysia. Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Noryn Aziz, Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor antara nama yang telah mengharumkan nama Malaysia ke luar. Malah, artis baru seperti Mila juga pernah merangkul anugerah di luar negara sekali gus membuktikan anak tempatan juga ada bakat luar biasa yang harus diberi perhatian.
Kepada Noryn, saya cuma berharap beliau bersabar dan mengambil ini sebagai satu cabaran dan dugaan dari Allah yang akan membawa kejayaan yang lebih besar, Insya'Allah. Apa yang pentingnya, saya sangat berharap insiden ini memberi semangat dan iktibar kepada kita semua untuk terus memberikan sokongan kepada artis dan bakat tempatan.
Kalau orang luar sudah tidak mahu mengiktiraf dan menyokong kita, dari mana lagi kami golongan artis akan mendapat sokongan kalau bukan dari anda semua. Namun begitu, saya harap bukan saya seorang saja yang merasakan begini, kerana saya dapat mengagak bahawa industri muzik kita sedang mengalami satu perubahan yang cukup positif dan semakin berkembang maju.
Bagi diri saya, Ramadan tahun ini bukanlah bulan untuk saya berehat semata-mata. Selain ibadat puasa dan tarawih, saya mengambil kesempatan meluangkan lebih banyak masa bersama isteri dan anak-anak serta ibu bapa saya. Saat paling berharga ialah sewaktu dapat berbuka puasa beramai-ramai di rumah ibu bapa.
Selain itu, saya sekarang sibuk menulis lagu dan menerbitkan lagu baru saya untuk album kedua. Memang sudah menjadi lumrah `musician’ menghabiskan waktu lewat paginya di studio sewaktu bulan puasa begini. Mudah saja untuk terus bersahur selepas letih bekerja di studio bersama teman-teman `musician’ lain. Tidak kurang juga sibuk menghadiri acara berbuka puasa bersama teman artis dengan anak-anak yatim dan juga golongan yang memerlukan.
Rancangan sempena Aidilfitri yang bakal menjelang juga menjadi pengisi jadual kami golongan artis. Akhir kata, saya doakan kesejahteraan semua umat Islam di mana saja anda berada dan selamat menjalani ibadat puasa dengan penuh keinsafan dan tawaduk. Semoga ibadat puasa kali ini memberi kita lebih kesedaran dan mampu memperbaiki segala kelemahan yang ada pada diri kita semua. Semoga mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT, Insya'Allah. Sekian. Wassalam...