Alam Maya: Masih ramai insan kesunyian

Maya Karin dalam filem Pungguk Rindukan Bulan.

ASSALAMUALAIKUM. Raya, raya, raya! Apa khabar semua? Saya doakan anda semua bahagia dan gembira bersama keluarga pada lebaran yang mulia ini. Bagi saya, keluarga kami menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan. Cuma, perkara wajib kami sekeluarga dapat lakukan ialah duduk dan lepak di rumah sepanjang hari raya pertama lalu untuk menyambut tetamu dan jiran tetangga.

What do we do then? Well, kami sekeluarga berbual dan makan-makan sepanjang hari. Saya datang daripada keluarga yang kuat berceloteh. Kami akan mengenang mengenai kejayaan, peristiwa sedih hinggalah kepada keadaan politik semasa. Namun, lazimnya kami adik-beradik terkenang peristiwa lucu sewaktu kami masih kecil dan remaja. Sering juga kami sekeluarga tergelak

besar hingga mengeluarkan air mata teringatkan peristiwa itu!

I love those times, terlupa seketika perkara yang merunsingkan fikiran. Seronok berkumpul bersama keluarga, bermesra dan bermanja dengan ibu, ayah serta adik-adik. Aidilfitri adalah peluang terbaik untuk kami sekeluarga merapatkan silaturahim. Jadi, pada kesempatan bulan Syawal ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua pembaca B*Pop beragama Islam. Maaf zahir dan batin.

Kepada mereka yang baru berkesempatan memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya, atau mahu kembali ke ibu negara dan mana-mana tempat bermastautin, saya doakan keselamatan anda sekeluarga.

Oh ya, saya percaya ramai yang belum tahu, bermula 25 September lalu, filem lakonan saya ditayangkan di pawagam. Saya terbabit dengan filem pendek, Pungguk Rindukan Bulan (PRB). Ia sebuah filem indie. Jadi, tak hairanlah jika tiada promosi besar-besaran dijalankan. Saya memegang watak Roza iaitu seorang isteri dan ibu yang meninggalkan suami dan anak lelakinya.

PRB adalah filem yang melihat sudut pandangan kehidupan suami dan anak Roza selepas ditinggalkan. Filem ini juga memperlihatkan bagaimana perasaan rindu mereka kepadanya. Justeru, pada musim perayaan ini, PRB sangat relevan kerana ada ramai insan kesunyian dan merindui orang tersayang yang tidak pulang bertemu keluarga biarpun pada hari raya.

Pembabitan saya dalam filem ini sedikit saja, hanya muncul di permulaan filem, tetapi saya tetap seronok terbabit dengan PRB. Berbeza dengan filem yang pernah saya bintangi sebelum ini, PRB hanya membabitkan 12 tenaga produksi termasuk pelakonnya. Penggambaran pula hanya membabitkan rumah pangsa di Johor Bahru.

Apa yang membanggakan saya apabila PRB bakal menyertai beberapa filem festival luar negara tidak lama lagi. Peluang ini pasti dapat mengetengahkan budaya Malaysia kepada dunia luar. Apa yang indah mengenai filem kita ialah mampu memberikan pengalaman baru dan memperlihatkan budaya kita kepada dunia luar dengan cepat seperti membuat mi segera!

Apabila mereka menonton filem Malaysia, secara tidak langsung mereka dapat melihat dan memahami budaya kita termasuklah pakaian kita, bahasa, cara hidup, lagu dan nyanyian sehinggalah kepada makanan kita. Hanya menonton filem, kita dapat merasai pengalaman baru, selain daripada kehidupan seharian kita.

Sehubungan itu, harapan saya, semua yang terbabit dalam industri perfileman negara akan terus bergabung tenaga dan usaha untuk menggiat, memaju dan mengembangkan lagi industri filem kita. Saya yakin dunia luar akan lebih mengenali Malaysia melalui filem keluaran kita. Majulah Filem Malaysia!