Artis pun kenalah muhasabah diri
Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

DALAM kemeriahan menyambut Aidilfitri ini, dunia hiburan kita terus bergerak macam biasa. Begitu juga artis dan selebriti ada yang masih bercuti dan sebenarnya ramai juga yang kembali ke ibu negara untuk meneruskan kerjaya seni di lokasi drama atau filem, selain ke studio rakaman atau pentas nyanyian.

Semasa cuti raya, saya sempat berbual dengan beberapa rakan di kampung saya di Alor Star, Kedah, mereka bertanyakan dunia artis kita yang kini kerap sangat dipaparkan cerita peribadi sama ada kes cerai, kepincangan rumah tangga, skandal cinta, bersekedudukan, seks bebas, mahupun terjebak dalam kegiatan tidak berakhlak dan jenayah termasuk ada yang diburu polis. Berita macam itu bersepah disiarkan seperti dalam ruangan gosip atau dijadikan berita semasa sama ada dalam akhbar, majalah mahupun internet.

Ada juga membuat andaian dunia artis kita janganlah terlalu sangat mengikut cara kebaratan seperti artis Hollywood atau Bollywood yang liar dan ada kalanya terlampau terutama dari segi gaya hidup, cara berfikir atau imej berpakaian. Biarlah tampil secara sederhana dan imej yang dibawa itu janganlah sampai menjadi orang marah dan akhirnya dibenci peminat. Sebab itu, ada peminat pernah mengaku dulu dia sangat suka dan sayangkan artis A tetapi kerana perangainya di luar skrin tidak disangka adalah sebaliknya dan kelihatan buruk, dia jadi naik bosan meskipun lakonan artis A itu dalam drama amat disukainya. Tetapi dek perangai sebenar diketahui, peminat tadi juga jadi meluat dengan lakonan artis A itu.

Memanglah dunia artis kita tidak pernah sunyi dengan cerita sensasi, kisah di sebalik tabir peribadi yang ada kalanya memualkan dan mengejutkan. Cerita sensasi itu ia yang menarik minat masyarakat untuk ikuti cerita dalam dunia hiburan kita. Itu yang disiarkan dalam media massa dan pihak wartawan yang lebih banyak tahu ‘cerita buruk’ selalunya banyak berahsia dan menyimpan saja cerita seperti itu kerana demi menjaga imej artis itu dan tidak mahu memperlihatkan dunia hiburan kita ‘nampak kotor’ oleh segelintir artis yang tidak sedar diri.

Sikap artis terutama berkaitan tingkah laku dan perangai tidak senonoh mereka, kalau ia dapat disiarkan dan dinyatakan mama mereka itu, tentunya akan terkejut besar lagi masyarakat kita. Saya bukannya untuk membuka pekung artis kita, atau bukan saja untuk mencari cerita buruk mengenai mereka tetapi ada ketikanya persoalan yang dibangkitkan masyarakat berkaitan perangai artis kita boleh dijadikan renungan bersama. Artis itu sendiri kena berani menerima teguran masyarakat dan memperbaiki diri, jangan terlalu hanyut dengan dunia hiburan yang mengkhayalkan dan penuh glamor ini.

Ada peminat yang pernah menghantar surat mereka kepada pihak akhbar selalunya meluahkan rasa kecewa dengan sikap artis seperti pelakon yang jika dilihat daripada watak dan peranan mereka dalam drama TV kelihatan begitu mulia dan wajar dicontohi, termasuk ada yang berimej sopan dan bertudung kepala tetapi realitinya adalah sebaliknya.

Ada peminat terkejut artis yang mereka sangka baik dan lembut itu pernah terserempak sedang mabuk di kelab malam atau pusat karaoke, ada juga yang pernah dilihat berkelakuan gedik dengan berpelukan dengan lelaki dan berpakaian tidak senonoh. Ada juga yang sombong dan berlagak tak bertempat. Sikap begini rupa-rupanya dibenci peminat.

Banyak lagi cerita yang tidak manis yang selalunya dihantar peminat atau pembaca akhbar ini mengenai sikap artis, terutama dari segi pemakaian atau cara mereka muncul dan bergaul di khalayak ramai. Peminat meluahkan rasa marah dan geram mereka pada artis tertentu kerana mereka dianggap cuma nampak baik dan menarik atau bersopan sekadar berlakon di kaca TV, filem atau mengadakan pertunjukan pentas sebaliknya dalam kehidupan realiti artis itu nyata hipokrit.

Dengan semangat dan kemuliaan Syawal ini, apalah kiranya artis kita yang sudah ‘hanyut’ itu supaya berubah sikap dan bermuhasabah diri.