
Farah menunjukkan tanda hitam di leher yang kini semakin pulih.
|
HAI... bertemu lagi di edisi baru Bintang Popular atau B*Pop yang lebih segar! Zubir pula akan terus bergosip selagi dunia hiburan disajikan cerita panas. Dulu Zubir Intip, kini Teropong Bersama Zubir, namun inti patinya tetap sama, kisah sensasi dunia artis. Fakta dan bukti menjadi teman Zubir agar mata pena semakin ligat menari!
Minggu ini Zubir nak teropong kisah aktres remaja yang semakin meniti popularitinya - Raja Farah Raja Aziz, 20, yang baru saja muncul di pawagam menerusi Apa Kata Hati? Dia juga baru selesai membintangi drama bersiri 26 episod, Intan Asmara apabila episod terakhirnya baru saja menemui penonton di TV3, Rabu lalu (25 Jun).
Pun begitu, sejak Intan Asmara ke udara, Zubir difahamkan bukan kehebatan cerita berkenaan banyak diperkatakan, namun kesan 'love bite' atau gigitan cinta yang jelas tertera di leher Raja Farah menjadi bualan ramai penonton dan tulisan rakan wartawan.
Zubir pada mulanya malas nak ambil 'port' kerana perkara seumpama itu terlalu peribadi, biarlah artis itu sedar sendiri, gara-gara keseronokan, nama rosak binasa!
Terbaru, Zubir sempat menonton penafian Farah mengenai kesan 'love bite' di lehernya itu apabila menonton rancangan AC Di Sini, baru-baru ini. Zubir ingatkan isu itu tidak diperkatakan lagi malah semakin menjadi-jadi! Masih ramai tidak mempercayai kata-kata Farah, sehinggalah seorang sumber menghubungi Zubir.
"Zubir, bukannya kita orang tak boleh bezakan, kesan hitam di leher Farah tu kerana 'love bite' atau terkena panas 'thong' (hot curler - alat untuk menggulung rambut).
Beriya-iya dia buat penafian dalam TV, dalam surat khabar, memberitahu kesan hitam di lehernya yang dapat dilihat dalam Intan Asmara tu kerana 'thong'! Piirah...!, "kata sumber.
Bertitik tolak daripada dakwaan berkenaan, Zubir terus menghubungi Farah dan bertanyakan kesahihan perkara berkenaan.
"Abang Zubir, dah tak larat Farah nak bagi tahu, kesan hitam yang dapat dilihat dalam Intan Asmara tu kerana terkena panas 'thong'! Farah mengaku sepanjang 26 episod drama berkenaan, tanda hitam itu sengaja dikekalkan sebab parut di leher Farah tu tak boleh hilang dengan solekan. Jadi, jurusolek guna eye-liner untuk menghitamkan parut berkenaan seolah-olah ia adalah birth mark (tanda lahir) Farah.
"Sebab nak jaga konti, setiap episod yang ada Farah, parut hitam disangka 'love bite' itu terpaksa dikekalkan.
Sekarang barulah nak elok sikit-sikit sebab setiap hari Farah sapu Vitamin E untuk hilangkan kesan hitam," kata Farah yang hadir ke pejabat Berita Harian untuk menunjukkan kesan hitam yang didakwa 'love bite' itu.
Tidak cukup dengan itu, Zubir menghubungi seorang tenaga produksi Intan Asmara dan pihak berkenaan memberitahu kepada Zubir cerita yang sama, bukan 'love bite' tapi terkena panas 'thong'. Zubir tak paksa orang percaya. Mereka berhak membuat penilaian.
Pun begitu, sekiranya benar kesan hitam di leher Farah gara-gara terkena panas 'thong', mana-mana pihak yang pernah menuduh Farah, rasanya elok mereka minta maaf.