'Hey perempuan, pulangkan suamiku!'
Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

PETANG Selasa lalu Zubir menerima panggilan telefon daripada seseorang mendakwa suaminya sudah hampir dua bulan tidak pulang ke rumah. Zubir hanya wartawan gosip, bukannya biro pengaduan awam tempat mengadu kes seperti ini.

Namun, wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Ayu (nama samaran) itu memberitahu Zubir, suaminya lari kerana mengikut seorang perempuan yang bertugas sebagai penerbit di sebuah stesen TV swasta terkemuka! Ini baru kes Zubir!

Ayu mendakwa, penerbit itu atau Zubir namakan sebagai Q bertanggungjawab menerbitkan sebuah rancangan bual bicara yang ke udara hampir setiap hari di stesen TV berkenaan. Hasil perkahwinan dengan suaminya, Ayu mempunyai empat orang anak yang berusia antara dua bulan hingga tujuh tahun. Selepas pertemuan diatur bersama Ayu, dia menceritakan masalah rumah tangganya kepada Zubir.

"Sejak dua tahun kebelakangan ini, perangai suami saya berlainan sekali, dia jarang balik rumah. Sehinggalah suatu hari, saya dapat membuka peti SMS di telefon bimbitnya. Saya terkejut kerana SMS itu memaparkan kata-kata cinta suami saya bersama Q! Selepas saya selidik, Q rupa-rupanya bertugas sebagai penerbit sebuah rancangan popular di sebuah stesen TV swasta terkemuka.

"Saya berpeluang bercakap dengan Q, namun dia menafikan menjalinkan hubungan cinta dengan suami saya. Sejak peristiwa itu, suami saya terus keluar dari rumah dan tidak pulang-pulang sampai hari ini. Setiap kali saya menghubungi suami nak minta duit belanja dapur dan anak-anak, dia mengugut untuk menceraikan saya dan melemparkan bermacam-macam tuduhan dan hinaan.

"Zubir, saya dah tak tahan hidup terseksa. Jika benar suami saya kini tinggal bersama Q, saya harap dia kembali ke pangkuan keluarga. Kepada Q pesanan saya, pulangkan suami aku!," kata Ayu menceritakan penderitaannya.

Zubir sebenarnya tak mahu masuk campur hal rumah tangga orang lain. Tapi, sekiranya benar seperti yang didakwa Ayu, Zubir harap suami Ayu menyedari kesilapannya dan Q pula sendiri mahu ingatlah, awak tu kerja di stesen TV popular, cerita macam ni memang cepat tersebar macam berita CNN! Faham-fahamlah ya.


Artikel lain: