Diana Danieele akui bergambar dengan pakaian mandi


Diana (kanan) bersama ibu yang juga pengurus peribadinya.

BARU-BARU ini Zubir dikejutkan dengan satu artikel dalam akhbar tabloid berjudul 'Gambar separuh bogel Diana di website', sekali gus dia mengundang kontroversi dengan berpakaian separuh bogel seperti disiarkan internet. Diana yang dimaksudkan itu ialah aktres remaja berwajah Pan-Asian yang sedang meletup-letup namanya ketika ini, Diana Danielle, 16.

Pun begitu, Zubir sendiri belum berpeluang melihat gambar Diana yang didakwa hanya berbikini itu. Selepas dikirimkan SMS kepadanya, beberapa jam selepas itu, Zubir terus menerima panggilan telefon daripada Diana.

"Benar Abang Zubir, Diana mengaku, gambar berbikini yang tersebar di Internet itu adalah diri Diana sendiri. Ketika itu usia Diana baru 13 tahun. Masa tu Diana menghadiri majlis sambutan hari jadi seorang teman baik. Majlis itu pula diadakan di tepi kolam renang rumah kawan Diana. Selesai barbeku, Diana dan kawan-kawan mandi di kolam renang itu.

"Dah namanya pun kolam renang, mestilah pakai pakaian mandi. Diana mengaku, Diana hanya mengena bikini, namun dipakai bersama pario yang diikat di pinggang. Kami pun bergambar beramai-ramai. Tapi, Diana tak sangka, gambar lama itu kini tersebar di Internet. Gambar itu pula dirakam untuk kegunaan peribadi, tak tahu pula macam mana ia boleh tersebar di Internet.

"Tapi, perkara sudah berlaku. Diana minta maaf kepada mereka yang tersinggung, maklumlah ketika itu umur Diana muda benar, tak tahu apa-apa, suka-suka saja. Sekarang ni apabila orang dah mula kenal Diana, baru Diana rasa kesan negatifnya. Diana harap, mereka di luar sana memaafkan Diana. Diana berjanji, perkara seumpama itu tidak akan berlaku lagi," kata Diana berterus-terang.

Selain itu, Zubir juga berkesempatan berbual dengan ibu Diana, Norsiah Ramli yang bertindak sebagai pengurus peribadi Diana. Dia yang membahasakan dirinya sebagai mama, tenang menjawab pertanyaan Zubir

"Mama akui, gambar itu (berbikini) ialah Diana. Tapi, gambar itu diambil ketika majlis hari jadi kawan Diana yang hanya dihadiri teman rapat dan saudara mara saja. Mereka bergambar pun di kolam renang rumah kawan Diana selepas barbeku. Kawan Diana yang memasukkan gambar itu dalam blog untuk dikirimkan kepada kenalan rapat yang lain. Tapi, entah macam mana, ia boleh terlepas ke tangan orang luar.

"Kawan Diana pun sudah menghubungi mama dan Diana memohon maaf. Mereka tak ada niat jahat untuk mengaibkan Diana. Mama pun tak marah sebab mama tahu niat mereka. Lagipun Diana memang suka berenang, di sekolah pun ada aktiviti berenang. Kalau dah berenang tu, mestilah pakai pakaian mandi. Tapi, mama sedar sensitiviti orang Malaysia, mama pun minta maaf jika ada pihak yang tersinggung dengan gambar berbikini itu.

"Masa tu Diana terlalu muda, baru 13 tahun. Dia tak ada niat nak seksi atau mempamerkan tubuhnya. Sekarang ni mama yakin, Diana sudah belajar dari kesilapan lalu dan dia tidak mungkin mengulangi kesilapan yang sama," kata Norsiah lagi.

Zubir harap dengan penjelasan ini, peminat Diana dapat memaafkannya.


Artikel lain: