
Rita Rudaini
|
KES saman membabitkan dunia hiburan dan artis bukanlah sesuatu yang asing. Pantang buat silap sikit, terimalah ‘surat cinta’! Kadang-kadang tu, tersalah tulis sikit saja, ada di kalangan artis tunjuk hebat, mengugut nak saman wartawan! Bagi Zubir, jika ada artis seumpama ini, yang tak boleh bertolak ansur, yang anggap wartawan musuh, kita biarkan saja mereka terjun dengan labu-labunya.
Apa yang Zubir nak teropong minggu ini berkaitan kes saman membabitkan artis juga. Zubir difahamkan, artis cun melecun, Rita Rudaini Mokhtar, baru-baru ini, terima surat saman! Bukan saman ekor atau saman tak bayar duit parking kereta, tapi surat saman dari production house.
Zubir dimaklumkan, Rita terima surat saman bertarikh 20 Jun 2008 ketika dia nak keluar rumah pergi shooting. Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur meminta Rita hadir di hadapan hakim pada 29 Ogos ini, jam 2 petang untuk menjawab satu tuntutan daripada Orbit Mediasari Sdn Bhd yang dianggarkan sebanyak RM85,000!
Zubir difahamkan, Orbit Mediasari ialah syarikat penerbitan yang menghasilkan filem Kantoi, arahan Mat London. Pergeseran bermula apabila syarikat itu mendakwa Rita tidak hadir ke lokasi penggambaran apabila diminta dan tempatnya terpaksa diganti seorang lagi aktres cantik, Rozita Che Wan.
Menerusi ruangan ini, ketika itu Zubir Intip bertarikh 2 Mac 2008, berikut adalah sebahagian komen Rita berhubung pergeserannya dengan produksi berkenaan.
"Cerita sebenarnya begini, bukan Rita lari dari set, tak datang shooting, tapi nama Rita sudah digugurkan dari filem berkenaan. Rita simpan semua bukti SMS yang dikirimkan wakil produksi berkenaan.
"Apabila menggugurkan nama Rita, janganlah sekadar kiriman SMS semata-mata, sila keluarkan surat. Sehingga saat ini, produksi berkenaan terus berdiam diri. Mereka pukul canang di media nak saman Rita, tapi tak ada pun notis saman Rita terima sehingga hari ini. Rita tak marah mereka nak saman, itu hak masing-masing. Baik pihak produksi mahupun Rita, kami mempunyai alasan tersendiri. Biarlah pihak pengadilan buat keputusan," kata Rita.
Nah ambik kau, hari ini Rita dah terima pun 'surat cinta' dari produksi berkenaan! Selepas satu pertemuan sebaik saja Rita menerima saman berkenaan, ini saja komen yang keluar daripada mulutnya.
"Benar, Rita ada terima surat saman seperti yang Abang Zubir cakap tu. Rita akan hadir ke mahkamah pada 29 Ogos depan seperti diperintahkan. Pun begitu, Rita tak boleh beri sebarang komen berhubung kes saman itu kerana ia bakal mengganggu perjalanan mahkamah. Rita dah ada peguam. Rita sudah serahkan kes ini kepada peguam untuk diselesaikan di mahkamah nanti. Maaf Abang, Rita tak dapat komen lebih-lebih," kata Rita tenang sambil ditemani seseorang di sisinya pada malam itu.
Zubir pun sama, apabila dah jadi kes mahkamah, Zubir tak berani komen lebih-lebih. Apa-apapun Zubir mendoakan kes ini segera diselesaikan. Zubir yakin, siapa yang benar dan yang bersalah akan terbukti sedikit masa lagi. Kepada Rita mahupun Orbit Mediasari, see you in court!
Pada masa sama, Zubir ingin melahirkan rasa simpati kepada aktres comel, Nora Danish yang kini sudah pun bercerai dengan Rizal Ashram Ramli. Apabila dah masuk mahkamah ni, Zubir teringin sangat nak tahu punca perceraian mereka, siapakah individu yang terbabit dalam kancah perceraian mereka, kita tunggu saja nanti!