Jaclyn Victor cakap tak serupa bikin

ZUBIR ingin mengucapkan tahniah kepada penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor (Jac) kerana hari ini dia secara rasminya layak bergelar aktres apabila baru-baru ini Jac mengesahkan kepada Zubir, dia sudah menerima tawaran daripada Yasmin Ahmad untuk membintangi filem terbarunya, Talent Time yang bakal memulakan penggambarannya akhir Ogos ini.

Sebelum ini Jac dikatakan pernah menolak tawaran Mamat Khalid membintangi filem arahannya, Estet selepas desas-desus mengatakan dia tidak mahu mengenakan sari menerusi filem berkenaan, sekali gus menjadi alasan dia belum bersedia untuk bergelar pelakon. Keadaan itu memaksa Mamat Khalid mencari pengganti Jac dan kini Estet masih rancak menjalani penggambarannya.

Tup-tup apabila tawaran datang daripada Yasmin, Jac terus menyatakan persetujuannya. Mungkin selepas ini ada kata-kata sinis yang menyindir Jac, cakap tak serupa bikin! Dulu kata tak nak berlakon kemudian tarik diri, hari ini adakah Jac benar-benar yakin dengan keputusannya?

"Jika anda masih ingat dengan kenyataan saya sebelum ini, ketika menerima tawaran daripada Mamat Khalid, saya tak pernah memberi apa-apa keputusan. Jadi, macam mana orang kata saya tarik diri? Lagipun, ketika tawaran itu datang, saya sedang sibuk dengan Asian Idol. Saya tak pernah berniat memperkecilkan kebolehan Mamat Khalid. Bagi saya, dia seorang pengarah yang sangat berbakat.

"Tiga kali Yasmin membuat tawaran kepada saya. Apabila dia mengatakan saya perlu mengikuti kelas lakonan sebelum penggambaran bermula, saya lebih yakin menerima pelawaannya. Tambahan pula, akhir Ogos ini saya tidak terikat dengan acara nyanyian penting, hanya menjayakan persembahan pentas saja. Album baru pula masih di peringkat mengumpul material. Sebab itu saya terima tawaran Yasmin," jelas Jac.


Artikel lain: