TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba teropong Zubir dapat mengesan pasangan artis yang dikhabarkan sedang hangat bercinta. Memang Zubir tak sangka langsung, dua artis sensasi yang dikatakan baru saja menjadi pasangan kekasih itu ialah bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Mohd Shawal Ruslan atau Shawal bersama aktres jelita dan seksi, Juliana Abdul Aziz (Jue)!
Sebelum ini Shawal yang dikenali dengan 'tag line' A Go Go, pernah mengakui dirinya berkawan rapat dengan rakan seperjuangannya di dalam AF5, Noni. Namun, ketika ini masing-masing sudah membawa haluan sendiri apabila Noni sudah pun berpunya, manakala Shawal masih solo dan dalam masa sama terus melebarkan namanya di bidang lakonan.
Lakonan Shawal menerusi drama bersiri pertamanya, Pria dan telemovie, Din Atau Dina pernah menjadi bualan suatu ketika dulu. Jue pula sepanjang pengetahuan Zubir, selepas putus cinta dengan aktor kacak, Jehan Miskin, masih berusaha memulihkan hatinya yang luka itu. Namun, sejak kebelakangan ini, Jue semakin bersemangat dan namanya terus memuncak apabila muncul menerusi drama bersiri, Jangan Main Belakang.
Mungkin untuk membuktikan mereka teman rapat, Shawal dan Jue kelihatan bersama. Pastinya pasangan kekasih itu ada alasan tersendiri apabila 9 Julai lalu, kira-kira jam 2 pagi, mereka kelihatan berdua-duaan sedang menjamu selera di Kopitiam White Town Coffee, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur. Gelagat Shawal dan Jue sebelum menyedari diri mereka diperhatikan teropong Zubir, persis pasangan kekasih, nak kata mesra pun layak!
Pun begitu, menurut sumber, selepas terpandang beberapa pasang mata yang asyik memerhatikan mereka, Shawal dan Jue bingkas bangun dan cuba melarikan diri dari pandangan umum. Namun, sudah terlambat kerana aksi 'teman tapi mesra' mereka sudah menjadi tatapan sumber yang memberitahu hal ini kepada Zubir.
Bagi Zubir, sekiranya mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa, kenapa mereka harus mengelak? Kalau sekadar teman sesama artis, tak ada salahnya mereka keluar makan bersama, sekalipun dilihat menonton wayang berdua, itu juga bukan satu dosa. Zubir sentiasa berfikiran terbuka, tapi apabila cuba melarikan diri, itu yang menjadi tanda tanya, adakah mereka belum bersedia memaklumkan cinta itu kepada umum?