Bintang Paling Popular 2007 dan dramatis kini dikatakan baru tiga minggu memilih tarikh naik pelamin
BINTANG jelita Maya Karin baru-baru ini sudah pun mengumumkan tarikh perkahwinannya dengan seorang guru matematik yang selama ini menjadi teka-teki. Justeru, tarikh pernikahan seorang lagi artis sensasi - Raja SMS, Asmawi Ani (Mawi) dengan buah hatinya, pelakon drama dan model, Nora'asikin Rahmat atau Ikin terus menjadi tanda tanya dan menjadi bualan ramai wartawan hiburan dan peminat mereka.
Pun begitu, desas-desus sebelum ini mengatakan tarikh perkahwinan Mawi-Ikin dijangka sekitar November atau Disember ini. Menerusi Bintang Popular (B*Pop) terbitan 13 April lalu, kenyataan ini yang terpacul daripada mulut Mawi: "Berkali-kali sudah saya jelaskan, memang ada perancangan ke arah itu (perkahwinan), tapi belum ada sebarang tarikh sesuai. Cepat atau lambat jodoh saya bersama Ikin adalah ketentuan Tuhan. Sekiranya November atau Disember ini menjadi detik bersejarah kami, Alhamdulillah, tapi jika sebaliknya, saya hanya berserah kepada qada dan qadar Allah.”
Namun, semakin hari semakin kencang angin bertiup ke telinga Zubir mengatakan pasangan merpati dua sejoli itu kini menghitung hari apabila detik bahagia mereka bakal menjelang tiba. Lebih menguatkan dakwaan itu, tersebar gosip di beberapa media, Mawi baru-baru ini banyak membeli-belah kain ketika dia di Dubai menjayakan rakaman penggambaran Langkah Mawi World! khabarnya untuk persiapan perkahwinannya.
Pada masa sama, Ikin juga dilihat sibuk membeli-belah di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini sebagai persiapan awal hari bahagianya yang bakal menjelma sedikit masa lagi.
Selepas Zubir teropong hingga ke selatan tanah air, tempat kelahiran Mawi, Ikin kira-kira tiga minggu lalu, heboh orang bercerita, merpati dua sejoli itu sudah pun mendapat tarikh yang sesuai untuk menyatu dua hati menjadi satu. Khabar angin yang singgah ke telinga Zubir memberitahu, Mawi, Ikin dan keluarga kedua-dua belah pihak sudah bersepakat memilih 21 Disember depan sebagai tarikh pernikahan Bintang Paling Popular 2007 itu!
Sekiranya berita yang sampai ke telinga Zubir ini satu kisah benar dan akhirnya menjadi kenyataan, Zubir dan warga B*Pop ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada pasangan berkenaan. Namun, sekiranya tersasar dan tiba-tiba mereka menukar tarikh, Zubir minta maaflah... Dah namanya pun gosip, mungkin ya, mungkin tidak. Kadang-kadang tu Zubir pelik juga ada sesetengah artis popular tak boleh terima gosip, asyik nak melenting saja!
Sementara itu, Zubir turut menerima banyak komen positif daripada pembaca B*Pop yang melahirkan rasa bangga melihat Mawi segak mengenakan pakaian seragam polis di depan Istana Kehakiman ketika menjayakan penggambaran filem pertamanya, Jin Notti di Putrajaya, baru-baru ini.