
Zhana
|
Bekas bintang Akademi Fantasia 5 (AF5) dikatakan dua kali terima amaran daripada Engku Emran
SUDAH jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang Zubir dengar berlaku kepada penyampai radio kesayangan Suria FM, Wan Nurul Zhana Wan Mohd Hanizan atau Zhana, 24. Selepas Zubir teropong, Zhana yang ditukarkan ke unit berita, bukan lagi sebagai penyampai Suria FM, baru-baru ini dia mengambil tindakan nekad menghantar surat notis berhenti kerja ke meja Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin!
Zubir difahamkan, notis berhenti kerja itu berkuat kuasa selama dua minggu. Zubir dengar cerita, Zhana kecewa dengan pihak pengurusan yang bertindak menukarkannya ke unit lain gara-gara dia tidak datang bertugas pada 16, 18 dan 19 Jun lalu, selain mempertikaikan sijil cuti sakit yang diberikan doktor dari satu klinik swasta kepadanya.
Setahu Zubir, sebelum ini Zhana bersama teman sekerjanya, Zizi mengendalikan segmen Breakfast@Suria mulai jam 6 hingga 10 pagi. Menurut laporan sebuah akhbar mingguan bertarikh 6 Julai lalu, Zhana kononnya dikenakan tindakan kerana dia tidak datang bertugas dengan alasan demam. Namun, keesokan harinya ketika dia ke pejabat dan memberi sijil cuti sakit, orang besar di stesen itu terus tarik muka dan minta dia buat kerja baca berita saja.
Menerusi akhbar mingguan yang sama bertarikh 13 Julai, Engku Emran sudah pun membuat kenyataannya berhubung isu berkenaan. Nak dijadikan cerita, baru-baru ini Zubir berjaya teropong sijil cuti sakit Zhana yang dikeluarkan sebuah klinik di Mid Valley Megamall bertarikh 18 Jun. Menerusi sijil cuti sakit itu, Zubir difahamkan Zhana diberi rehat selama dua hari (18 dan 19 Jun 2008) kerana mengalami masalah sakit puan atau vaginitis.
Pun begitu, Zubir dimaklumkan satu sumber, selepas Zhana menyerahkan sijil berkenaan kepada pihak pengurusan, Engku Emran mengeluarkan ‘letter of warning & show cause’ kepada Zhana, sekali gus menggantung kerja Zhana sebagai penyampai Suria FM mulai 23 hingga 27 Jun lalu. Namun, selepas Zhana memberi surat penjelasan, khabarnya sekali lagi dia menerima surat amaran daripada Emran.
Zubir berusaha mendapatkan kesahihan cerita daripada mulut Zhana sendiri, tapi hampa kerana semua SMS yang dikirimkan kepadanya tiada balasan, selain panggilan telefon tidak berjawab. Pun begitu, sekiranya ini satu lagi kisah benar, industri penyiaran kehilangan seorang lagi penyampai berbakat seperti Zhana.
Namun, Zubir yakin, selepas keluar dari Suria FM, tentu banyak stesen radio lain mengintai Zhana!