Ally Iskandar merisik selebriti popular?


Ally Iskandar

RAMAI yang susah nak percaya jika Zubir katakan, personaliti popular TV3 dan penerbit rancangan Malaysia Hari ini (MHI), Ally Iskandar masih belum berpunya. Zubir perhatikan tidak ada yang kurang pada Ally - pendidikan yang sempurna, karier yang hebat dan glamour sebagai seorang personaliti TV - semua ada pada dirinya. Tapi, hakikatnya dia masih ada kekurangan, masih solo hingga hari ini.

Zubir sendiri sukar hendak percaya, tapi apabila sudah melihat dengan mata dan kepala sendiri, baru Zubir yakin, dia masih sendiri, belum ada teman wanita yang benar-benar steady. Zubir pernah terserempak dengan Ally sedang berjalan-jalan seorang diri di pusat membeli-belah One Utama. Ketika disapa, katanya dia sedang merehatkan fikirannya selepas seharian bergelumang dengan tugasan di pejabat.

Pun begitu, sebelum ini dirinya sering dikaitkan dengan personaliti popular HotFM, Fara Fauzana apabila suatu ketika dulu mereka pernah bersanding olok-olok di Sri Pentas. Peminat pula ramai yang ‘merestui’ jika suatu hari nanti perkara olok-olok itu bakal menjadi kenyataan. Tapi, ini soal hati dan perasaan, pastinya Ally mahupun Fara mempunyai pilihan dan cita rasa tersendiri.

Terbaru, Zubir berjaya teropong, khabarnya tidak berapa lama dulu Ally pernah menghantar cincin tanda atau cincin merisik kepada seorang selebriti popular yang muda lagi jelita! Tapi khabarnya, tiada sebarang majlis kenduri kendara diadakan di rumah selebriti popular itu kerana Ally buat majlis tak rasmi, mungkin dia tak mahu kecoh-kecoh.

Fara Fauzana

Daripada maklumat seorang sumber, Ally menyerahkan cincin merisik itu kepada ibu selebriti berkenaan. Sekiranya perkara ini benar-benar terjadi, tabik spring buat Ally kerana dia seorang yang gentleman. Dia sukakan anak orang, dia ikut cara dan adat yang betul.

“Tapi, selebriti popular itu sampai hari ini tidak memberi sebarang kata putus sama ada dia menerima lamaran Ally atau tidak. Yang aku tahu, ibu si selebriti itu memang dah berkenan sangat dengan Ally. Yalah, Ally suka kat anak orang, bukan nak buat main-main, terus nak buat isteri. Setahu aku, memang dah lama Ally menaruh hati dan perasaan pada selebriti itu, tapi kalau selebriti itu diam seribu bahasa, apakan daya Ally.

“Orang tua-tua pernah cakap, kalau nakkan anak, mesti pandai ambil hati orang tuanya dulu. Jadi, aku rasa Ally dah buat perkara yang sepatutnya. Kini, terpulanglah kepada selebriti itu membuat pertimbangan. Bagi aku, selebriti itu pun memang dah layak bergelar isteri, jangan memilih sangat. Nanti nak pilih batu permata, terpilih kaca, Ally tu dah cukup baik budaknya,” kata sumber tadi.

Pendapat Zubir secara peribadi, kalau dah jodoh, pasti tidak ke mana, cuma kalau Ally benar-benar berhasrat melamar selebriti popular itu sebagai calon isteri, dia kena banyak bersabar. Maklumlah orang cantik, pasti selebriti itu sukar membuat pilihan yang mana satu berkenan di hati. Sekiranya menjadi kenyataan, Ally berjaya menyunting si jantung hatinya, tahniah Zubir ucapkan!


Artikel lain: