Adiputra nafi cintai selebriti popular



Pelakon dari Singapura akui keluar karaoke, namun menafikan perkahwinan dilanda musibah

SELEPAS reda kekecohan Adiputra yang kononnya bermasam muka dengan rakan senegaranya yang juga pelakon, Aaron Aziz, kini Zubir dapat tahu satu lagi kontroversi muncul apabila Adi dikatakan berkawan rapat dengan selebriti popular sehingga rumah tangganya dikatakan mula retak. Ini memaksa isteri Adi, Aida Yusof campur tangan apabila melihat keintiman suaminya dengan selebriti berkenaan semakin menjadi-jadi, sekali gus keharmonian rumah tangga mereka turut tergugat!

Semuanya bermula apabila Adi sering digandingkan dengan selebriti itu dalam produksi drama dan filem. Kemesraan ketika penggambaran, menjadikan mereka dikatakan begitu serasi digandingkan bersama, namun keintiman Adi dan selebriti itu kononnya berlarutan hingga di luar set penggambaran.

Desas-desus yang berjaya Zubir teropong, ada laporan mendakwa Adi dan selebriti itu juga sering berhubungan menerusi telefon dan SMS. Mereka juga dilaporkan pernah beberapa kali berhibur di pusat karaoke.

Selepas Zubir teropong, Aida yang juga bekerja dalam produksi pernah meluahkan rasa kecewanya kepada beberapa kenalan rapat mengenai badai yang melanda rumah tangganya. Selain itu, khabarnya dia pernah bertanya beberapa rakan artis mengenai sikap selebriti itu yang dilaporkan mudah mesra dengan sesiapa saja.

Bagi merungkai persoalan ini, Zubir mengatur pertemuan dengan Adi, sekali gus secara terbuka bertanya kepadanya perihal kontroversi terbaru yang melanda dirinya.

“Benar, kekerapan bekerja dengannya menjadikan saya dan selebriti itu serasi digandingkan bersama, maksud saya serasi bekerja. Memang saya rapat dengannya tetapi sebagai rakan artis. Tapi, apabila timbul cerita saya dan selebriti itu menjalin hubungan mesra di luar waktu kerja sehingga isteri saya tidak selesa, itu tidak benar! Kalau benar saya dan selebriti itu menjalin hubungan, tolong buktikan!

“Karaoke? Yes... saya tak nafikan saya dan selebriti itu pernah keluar karaoke sebanyak dua kali, namun semuanya disertai isteri saya dan kawan-kawan. Mengenai saya menerima panggilan telefon dan SMS daripada selebriti itu pada waktu tidak sesuai, situasi itu tidak pernah berlaku. Saya boleh buktikan jika diminta senarai panggilan telefon dan SMS daripada selebriti itu dengan kerjasama syarikat telekomunikasi!

“Ingin saya jelaskan, rumah tangga saya dan Aida tidak pernah dilanda badai dan Aida sendiri tidak pernah bercerita dengan orang luar mengenai perihal rumah tangga kami. Saya dan Aida tidak pernah bercakaran gara-gara selebriti itu. Aida juga tak pernah melarang saya berlakon dengan sesiapa pun termasuklah selebriti berkenaan. Saya harap, semuanya sudah jelas sekarang,” kata Adi berterus-terang.

Kita sudah mendengar penjelasan Adi, mungkin ini satu lagi fitnah yang melanda kehidupan artis dan selebriti. Zubir harap, Aida banyak-banyaklah bersabar kerana perkara paling penting dalam rukun rumah tangga ialah kepercayaan suami, isteri. Jika kepercayaan dinodai, memberi ruang badai bermaharajalela. Tapi, tak ada angin, masakan pokok bergoyang, oopss! Mungkin pepatah ini tak boleh diterima pakai lagi.

ZUBIR: Terima kasih kepada pengurusan Hard Rock Hotel, Bali, terutama Pak Zad, Aulianty dan Lucia atas kerjasama ketika kunjungan ke sana.


Artikel lain: