
Gambar mesra Marcell dan Rima yang diambil dari sebuah laman web di internet.
|
Aktres Singapura akui intim dengan penyanyi popular dari Indonesia sejak April lalu
UMUM sudah pun mengetahui percintaan 'teman tapi mesra' yang terjalin antara pelakon kacak, Fahrin Ahmad dengan personaliti popular Era, Linda Onn sejak dua tahun lalu, kini hanya tinggal kenangan. Saat ini, Linda masih mencari pengganti, namun Fahrin sudah beberapa kali dilihat keluar bersama beberapa nama popular, terbaru ialah Jue Aziz apabila kedua-duanya dilihat makan bersama di kedai mamak sekitar Sri Petaling.
Terdahulu, Zubir pernah terserempak Fahrin dengan aktres popular dari Singapura, Rima Melati Sheila Adams, 28, di Bangsar. Namun, kedua-duanya menafikan mereka ada hubungan istimewa sekalipun Fahrin beberapa kali dilihat keluar bersama Rima. Rima pula dilaporkan sudah ada buah hati, seorang pemuda dari Jakarta dan Rima sendiri sering berulang-alik ke Jakarta bertemu kekasihnya itu.
Berita panas memang cepat Zubir teropong. Selepas diselidiki, kekasih Rima itu sebenarnya seorang penyanyi popular dari Indonesia iaitu Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan atau lebih dikenali sebagai Marcell pernah berduet bersama Shanty dengan lagu popular mereka, Hanya Memuji! Rima dan Marcell mulai intim sejak April lalu. Kini sahlah, Fahrin bukan kekasih Rima! Fahrin sama seperti Linda, masih mencari calon.
 |
| Fahrin pernah keluar makan dengan Jue Aziz. |
Rima pula sedang menempa popularitinya di Malaysia apabila ketika ini sedang berlakon drama bersiri 26 episod, Dendam terbitan Asia Media Content (AMC) yang kini disiarkan menerusi TV3, setiap Selasa jam 11 malam. Sebelum ini Rima pernah berlakon tiga drama di Malaysia iaitu Orang Minyak, Janji Kekasih dan Gaduh-Gaduh Sayang. Di Singapura pula, Rima sudah membintangi lebih 10 drama.
Kesempatan bertemu Rima di lokasi Dendam di sebuah banglo mewah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Zubir terus bertanyakan kesahihan kisah cintanya itu. Zubir kagum dengan sikap Rima yang tak plastik, dia sedia berterus-terang.
“Benar, Marcell kekasih saya! Now, we are in love, kami sangat bahagia. Saya dan Marcell mulai rapat sebagai pasangan kekasih sejak April lalu. Kami mempunyai minat yang sama iaitu muzik rock dan heavy metal,” akui Rima yang rupa-rupanya cepat mesra.
Namun, Marcell sudah pun berkahwin dengan Dewi Lestari dan kini berpisah dan masih dalam proses perceraian. Justeru, Rima boleh dilabel sebagai perampas kebahagiaan Marcell-Dewi. Rima pula sebelum ini pernah berkahwin, namun hanya bertahan kira-kira dua tahun saja. Rima mempunyai seorang anak lelaki, Edga Ian Cook berusia setahun tiga bulan.
“Saya bukan punca perpisahan Marcell dan Dewi. Marcell berpisah dengan bekas isterinya sejak 2006. Saya dan Marcell ketika ini sedang mengecapi saat bahagia, saya harap janganlah ada tanggapan negatif lagi,” kata Rima tanpa berselindung.
Bagi Zubir, perkahwinan dan perceraian adalah lumrah kehidupan. Patah tumbuh, hilang berganti suatu kelaziman. Rima sudah bertemu cinta baru. Begitu juga dengan Dewi yang dilaporkan sudah ada buah hati baru, Reza namanya. Kini, Zubir masih menunggu pengganti cinta Fahrin dan Linda.
ZUBIR: Acara persembahan FFM21 minggu lalu macam setaraf konsert artis Astro.