Hans tidak boleh terima gosip




MINGGU lalu Zubir menulis mengenai gosip cinta terbaru pelakon seksi, Zuliana Ab Aziz atau Jue Aziz yang baru-baru ini putus cinta dengan Jehan Miskin. Menerusi B*Pop terbitan 17 Ogos lalu, Zubir melaporkan Jue kini kononnya bermain cinta dengan aktor dan pengarah filem, Hans Isaac, malah Hans dilaporkan pernah pergi ke set penggambaran drama, Orang Minyak Naik Minyak yang turut dibintangi Jue, baru-baru ini. Ini sekadar gosip yang menarik perhatian Zubir.

Seperti biasa pagi Ahad itu, hos rancangan Kring Kring Astro Ria, Aznil Nawawi menghubungi artis berkenaan secara live untuk mengetahui sejauh mana kesahihan gosip berkenaan daripada mulut artis itu sendiri. Aznil berjaya menghubungi Hans yang ketika itu berada di Melbourne, Australia. Berikut adalah sebahagian jawapan Hans yang Zubir teliti daripada salinan DVD episod Kring Kring terbitan 17 Ogos.

“Pendek cerita, saya rasa kenyataan daripada wartawan yang tulis ni tak ada kredibiliti langsung. Wartawan yang tulis artikel ni dah dua, tiga kali silap. Mencari bahan untuk saya saja. Buat topik yang faktanya tak betul. Tanyalah dia... Tanya Zubir tu, yang dulu Munira, pun silap dia tulis, saya tak jawab lagi tu,” kata Hans menjawab pertanyaan Aznil.

Terima kasih atas segala dakwaan Hans itu. Namun, Zubir ingin jelaskan, gosip dari segi bahasa ialah desas-desus atau khabar angin yang mana kebenaran atau kepastian belum jelas kerana ia cuma menjadi buah mulut orang ramai. Gosip dari segi istilah Kamus Dewan pula bererti cakap-cakap yang mengisahkan khabar atau hal buruk.

Dalam konteks ruangan hiburan menerusi media cetak di negara ini, gosip lebih kepada desas-desus atau `usik-usik yang mencubit' bertujuan memberitahu pembaca mengenai sesuatu atau menegur. Gosip dalam konteks zaman sekarang lebih kepada melaporkan apa wartawan dengar berdasarkan cakap-cakap yang belum ada kesahihannya. Ia bukannya berniat mencipta tuduhan atau memfitnah.

Bertolak daripada maksud gosip, Zubir mendapatkan komen daripada Jue untuk kepastian dan kesahihan apakah benar Jue kini bertakhta di hati Hans.

"Memang Hans ada bertemu saya di set penggambaran (Orang Minyak Naik Minyak), baru-baru ini. Saya akui, berkawan rapat dengan Hans selepas putus cinta dengan Jehan (Miskin). Saya selesa berkawan dengan Hans kerana dia seorang yang caring. Namun, perhubungan kami tidak lebih daripada seorang teman baik.

“Terus terang saya katakan, saya belum bersedia dengan cinta, berilah saya ruang waktu lagi sebelum bertemu cinta baru. Justeru, antara saya dan Hans sekadar kenalan rapat. Tidak ada hubungan istimewa antara kami,” terang Jue menerusi B*Pop terbitan 17 Ogos.

Kini, terpulanglah kepada pembaca membuat penilaian. Pun begitu, sekiranya Hans masih tak boleh terima gosip seperti ini, sebagai kawan dan wartawan, Zubir minta maaf. Bukan Hans saja yang Zubir gosip, malah setiap insan yang bergelar artis dan selebriti, tidak terlepas daripada teropong Zubir!

ZUBIR: Kenang jasa rakan artis yang banyak membantu wartawan selama ini.


Artikel lain: