Dynas, Nur Fazura bermasam muka?
Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

DUA-DUA cantik, sama-sama popular, mereka menjadi perhatian penerbit dan pengarah drama, justeru salah seorang daripada mereka pasti ada yang cemburu, tak puas hati, mana boleh ada dua, tiga orang 'drama queen'! Angin yang bertiup kencang ke telinga Zubir memberitahu, dua bintang yang dikatakan bermasam muka serta tidak bertegur sapa itu ialah pelakon utama drama bersiri Ezora - Dynas dan Nur Fazura!

Zubir mendapat perkhabaran, konflik antara Dynas dan Fazura berpunca gara-gara rasa tidak puas hati sesama mereka sehingga berlaku perselisihan faham. Biasalah apabila tidak bercakap macam orang bisu di lokasi penggambaran, muncung mulut masing-masing panjang sedepa, pasti orang akan mengata, kedua-dua pelakon yang sedang top itu berdepan masalah api cemburu yang sukar dibendung.

Dynas pula dalam Harian Metro bertarikh 1 Ogos lalu tidak menafikan cerita hangat diperkatakan itu, namun dia tidak menyatakan sebarang nama pelakon termasuk Fazura, aktres yang dikaitkan dengannya. Bagaimanapun, katanya isu berkenaan sudah diselesaikan dan hubungan antara pelakon kembali baik.

Entahlah, Zubir tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, baik Dynas mahupun Fazura kerana kedua-duanya di mata Zubir adalah dua aktres yang tidak ada sebarang masalah disiplin dan perangai. Jika apa dikhabarkan ini benar-benar berlaku, Zubir harap Dynas dan Fazura sudah menyelesaikannya secara baik dan aman. Yang penting jangan jadi artis plastik, nanti semua orang benci!

ZUBIR: Tahniah buat Ahmad Idham kerana berjaya pentaskan Impak Maksima The Musical di Istana Budaya.


Artikel lain: