SUDAH sekian lama peminat menantikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza beraksi di layar perak, mahupun di kaca TV, namun segala perancangan dan pelawaan sebelum ini, tidak pernah terlaksana. Pun begitu, Zubir berjaya teropong menerusi satu sumber dari pihak produksi, Siti Nurhaliza khabarnya sudah hampir pasti membintangi drama bersiri TV3, Spa Q yang tak lama lagi akan disambung penggambaran musim keduanya!
Jika khabar yang singgah ke telinga Zubir ini menjadi satu kenyataan, ini satu berita gembira buat industri hiburan negara, julung kalinya Siti bakal bergelar aktres!
Pun begitu, maklumat yang berjaya Zubir risik, penampilan Siti menerusi Spa Q 2 ini lebih kepada penampilan istimewa apabila dia hanya terbabit kurang daripada 15 babak saja. Zubir difahamkan, watak utama masih dipegang Norish Karman. Bagi Zubir, biarpun kemunculan Siti bukan sebagai watak utama, kelibatnya menerusi Spa Q 2 pasti dinanti peminat dan tak mustahil rating drama yang mengisi slot Akasia itu akan naik mendadak.
Walaupun Siti sendiri belum memberi sebarang pengesahan mengenai dirinya yang bakal bergelar pelakon, Zubir dan team B*Pop ingin mengucapkan tahniah kepada Siti dan syabas kepada syarikat penerbitannya, Global Station kerana berjaya memujuk Siti menerima pelawaan mereka. Yang pasti pencalonan Siti untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) akan datang bakal menyenaraikan Siti untuk satu lagi kategori, Pelakon TV Wanita Popular!
Zubir: Teringin tengok Siti berlakon watak hantu dalam filem aksi seram.