SEHARUSNYA pada Ramadan yang mulia ini, kita umat Islam seharusnya mencari peluang melipat gandakan segala amalan dan kebajikan dalam usaha memperoleh keberkatan-Nya. Pun begitu, cerita terbaru yang berjaya Zubir teropong minggu ini, ada insan yang 'tegar' atau tergamak mencuri, sekali gus menyakitkan hati orang lain!
Zubir dengar cerita, aktres remaja berwajah Pan-Asian, Diana Danielle menjadi mangsa curi apabila beberapa barang kemas milik peribadinya seperti rantai leher, gelang, subang dan cincin yang digunakannya sebagai props ketika penggambaran drama bersiri Farah Syakirah dicuri oleh seorang pelakon baru!
Sejauh mana kesahihan cerita ini, tak dapatlah Zubir pastikan kerana mereka yang bertugas di sebalik tabir penerbitan drama bersiri ini membisikkan ke telinga Zubir ketika kami keluar bersahur, baru-baru ini. Lebih menghangatkan cerita, Diana yang Zubir kenali seorang yang lemah lembut, nak dengar suaranya pun susah, siap mengamuk di lokasi apabila artis baru itu tidak mahu mengaku dia yang mencuri!
“Sebenarnya Diana mengamuk bersebab. Dia ada bukti artis baru tu mencuri barang-barangnya. Bayangkan kalau segala aksesori yang dipakainya sebagai props untuk drama berkenaan hilang, tiba-tiba dilihat di dalam beg artis baru berkenaan. Diana tak nampak sendiri, tapi ada seorang krew yang terpandang aksesori yang sering dipakai Diana, elok saja tersimpan di dalam beg pelakon baru itu.
“Apabila Diana bersemuka dengan aktres berkenaan, dia tak nak mengaku. Beberapa kali Diana bertanya kenapa dia ambil barang-barang itu, sampai ke sudah dia tak mengaku sikap panjang tangannya itu. Bagi Diana, aksesori berkenaan penting untuk konti. Kalau beli aksesori lain, nanti konti lari! Sebab itu Diana naik minyak dengan sikap pelakon baru itu.
“Seperkara lagi, selain Diana, ada lagi seorang krew yang kehilangan barang. Selepas diselidiki, rupa-rupanya pelakon baru tadi punya kerja, kaki kebas! Pun begitu, barang milik krew berkenaan dapat semula, mungkin sebab barang yang dikebas itu harganya murah. Artis baru itu dengan muka sardin bagi alasan, dia ‘terambil’ bukan niat mencuri,” kata teman Zubir tadi sambil menghirup teh tariknya.
Angin bertiup kencang ke telinga Zubir, memberitahu Diana enggan meneruskan sambungan penggambaran Farah Syakirah selagi artis baru itu tidak mahu memulangkan semula aksesori miliknya. Sikap Diana yang berkeras dengan keputusannya itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan krew produksi sehingga ada yang sanggup memberinya beberapa ratus supaya dia dapat membeli aksesori baru, tapi Diana tidak mahu!
Sekiranya benar segala dakwaan yang diceritakan teman Zubir tadi, Diana mengamuk di lokasi kerana bengang dengan sikap panjang tangan artis baru itu dan memang terbukti pelakon berkenaan bertanggung jawab mencuri barang-barangnya, bagi Zubir memang Diana patut marah! Zubir sendiri kalau orang pinjam majalah hiburan, tapi buat harta sendiri, memang kena maki orang itu!
Kepada artis baru itu, sekiranya sudah terbukti dia yang mencuri aksesori Diana, nasihat Zubir, pulangkan! Kalau malu nak pulangkan secara terang-terangan, letakkan saja barang-barang itu di mana-mana tempat terbuka yang orang senang nampak. Mudah-mudahan ketika cerita ini tersiar, Diana sudah memperoleh sebahagian aksesorinya itu dan sudah bersedia meneruskan penggambaran.
ZUBIR: Teringat peribahasa Melayu; Siakap, senohong, gelama, ikan duri....