Lokman Ghani kahwini pelakon?


Lokman Ghani

APABILA sebut nama Lokman Ghani, apa yang Zubir terbayang di fikiran, dia seorang pengarah teater hebat. Namanya juga gah di Istana Budaya (IB). Seingat Zubir, antara karya Lokman, 50, yang pernah dipentaskan di IB termasuklah Bukit Kepong, Suzana 60an dan Cheng Lok. Manakala teater terakhir Lokman bertindak sebagai Pengarah Artistik ialah Patriot yang dipentaskan di IB, baru-baru ini. Lokman juga pernah mengarah teater, Patung Kertas.

Zubir juga dimaklumkan, Lokman sudah berkahwin dengan seorang jurutari, Siti Salmiah Simbok, 47. Pasangan berkenaan dikurniakan lima cahaya mata yang kini sudah berusia antara 14 hingga 23 tahun.

Pun begitu, terbaru yang berjaya Zubir teropong, desas-desus di kalangan orang industri memberitahu, Lokman sudah berkahwin lagi dengan seorang pelakon drama, sekitar Ogos lalu. Namun, sehingga ke hari ini tiada sebarang pengesahan daripada Lokman sama ada di benar-benar sudah berkahwin lagi atau sekadar gosip liar.

Zubir juga diberitahu, isteri baru Lokman selain pernah membintangi beberapa teater, pernah juga berlakon beberapa drama bersiri popular siaran RTM dan TV3. Maklumat terbaru yang singgah ke telinga Zubir, Lokman sudah bersedia untuk tampil membuat pengakuan, dia sudah berkahwin lagi, tapi masalah lain pula yang timbul apabila aktres berkenaan, sampai ke sudah tak mahu mengaku dia sudah berkahwin dengan Lokman.

Menerusi sebuah majalah hiburan terbitan 30 Ogos hingga 5 September, aktres itu pernah membuat penafian dia sudah berkahwin dengan pengarah yang dikaitkan dengan dirinya, sebaliknya mengakui cerita berkenaan sekadar khabar angin, namun dia mengakui sudah lama mengenali pengarah yang dimaksudkan dengan dirinya itu.

Bagi Zubir, sekiranya cerita yang dibisikkan ke telinga Zubir ini satu kisah benar, Zubir rasa baik Lokman berterus terang saja supaya tidak timbul sebarang fitnah. Bukan Lokman saja, Zubir harap aktres berkenaan, tak perlu lagi main tarik tari, mengaku saja jika benar sudah berkahwin. Pun begitu, jika maklumat Zubir peroleh ini tidak tepat, pada bulan dan hari baik ini, Zubir minta maaf pada Abang Lokman.

ZUBIR: Ada pengarah dan aktor popular sering melenting apabila digosip, tapi sudi pula jemput wartawan gosip ke majlis anjurannya.


Artikel lain: