
Pierre Andre
|
Pengarah filem muda dikatakan tak mahu keluar bertemu sesiapa sehingga makanan terpaksa dihantar ke bilik
SEPANJANG percutian sempena Aidilfitri lalu, Zubir yang berada di kampung Zubir sentiasa dihujani pelbagai soalan gosip daripada sanak saudara. Mereka asyik bertanyakan gosip dunia artis sejak kebelakangan ini termasuklah ‘percintaan halimunan’ membabitkan pelakon, penulis skrip dan pengarah filem muda, Pierre Andre. Kisah Pierrre yang dikatakan bercinta dengan wanita didakwa mempunyai masalah mental dikenali dengan pelbagai nama seperti Maya Darina Dahlan Hain atau Elie atau Molie atau Melia - semuanya dikatakan orang sama!
Zubir difahamkan selepas pendedahan menerusi B*Pop terbitan 28 September lalu dengan tajuk artikel - ‘Pierre naik angin’, sekali gus membuktikan sikap Pierre yang tidak profesional apabila berdepan pihak media apabila mengajukan pertanyaan mengenai kewujudan Maya Darina, Pierre dikatakan terus mengurungkan diri di dalam bilik, tidak mahu keluar rumah bertemu dengan sesiapa selama beberapa hari sehingga makanan dan minuman terpaksa dihantar terus ke biliknya, ala-ala room service!
Pierre khabarnya trauma dengan insiden ‘terjah’ B*Pop bersama team Melodi TV3 pada hari terakhir di lokasi penggambaran semula filem Jangan Tegur di sebuah banglo mewah di Taman Bukit Indah, Ampang, tempoh hari. Pierre dikatakan tidak mempercayai sesiapa lagi selepas kejadian berkenaan apabila berasakan dirinya diperangkap.
Dua tiga hari lalu, Zubir mendapat perkhabaran, kononnya Pierre sekali lagi naik angin, kali ini dengan pengurusan Metrowealth Movie Production (MMP)! Zubir dimaklumkan, Pierre mendakwa pengurusan MMP berpakat dengan Zubir dan team Melodi menjayakan segmen ‘terjah’ tempoh hari sehingga mengganggu tugasnya. Untuk pengetahuan Pierre, MMP tidak ada kena mengena ‘dalam ini gambar’! Zubir yang bertanggungjawab sepenuhnya atas segala perancangan pada malam itu!
Zubir dengar cerita, Pierre tidak mahu lagi hadir ke pejabat MMP atas beberapa urusan rasmi dan melawan cakap beberapa petugas di sana! Dengar cerita, pelakon utama Selamat Pagi Cinta! seperti Sharifah Amani, Que Haidar dan Nur Fazura sudah mengesahkan kehadiran mereka untuk sesi fotografi mempromosikan filem berkenaan bersama sebuah majalah hiburan pada 15 Oktober ini, namun sehingga artikel ini ditulis, Pierre belum memberi sebarang pengesahan mengenai kehadirannya!
Begitu juga majlis pratonton filem Selamat Pagi Cinta! yang dijadualkan pada 5 November ini di Seri Kembangan. Pelakon lain semuanya sudah mengesahkan kehadiran mereka bertemu media, kecuali Pierre sehingga hari ini belum ada kata putus sama ada dia akan hadir atau sebaliknya. Sekiranya Pierre tidak muncul juga, hanya satu pertanyaan Zubir, sampai bila Pierre ingin menjadi ‘pelarian’ - mengelak bertemu media yang pasti bertanya mengenai ‘kekasih halimunan’ berkenaan.
Zubir turut berusaha mendapatkan komen daripada ibu Pierre, Khatijah Tan berhubung perkara ini. Namun, selepas beberapa kiriman SMS dan telefon kepadanya, tiada sebarang jawapan. Zubir harap baik Pierre mahupun Khatijah segera memberi penjelasan mengenai isu Maya Darina. Lagipun ini bukan cerita yang memalukan, ia sekadar gosip saja. Apa yang hendak Pierre takutkan?
ZUBIR: Kasihan pada artis popular ‘meroyan’ telefon wartawan pada malam raya apabila SMS dikirim tak dibalas.