
Pereka fesyen, Azura mendakwa penyampai programkekeluargaan belum lunas bayaran RM4,550.
|
SEBENARNYA pereka fesyen yang agak popular, Azura atau Norazura Mazaruddin sudah membisikkan ke telinga Zubir cerita seorang pengacara atau personaliti TV stesen terkenal tak mahu bayar hutang bajunya beberapa hari sebelum menjelang Syawal, baru-baru ini.
Namun, kerana sibuk dengan persiapan raya, hanya beberapa hari lalu Zubir berkesempatan bertemu Azura dan mendapatkan penjelasan panjang lebar mengenai cerita berkenaan.
Azura yang memiliki Azura Couture yang kini beroperasi di Seri Kembangan, Selangor memberitahu, sekitar Jun lalu, pengacara yang mengendalikan sebuah rancangan berbentuk kekeluargaan dan lazimnya ke udara setiap Isnin di stesen TV popular, ada menempah enam pasang baju untuk dirinya, suami dan anak yang didakwa akan dipakai ketika majlis pertunangan adik iparnya.
Semua enam pasang baju itu sudah diambil pengacara TV berkenaan dan selepas Zubir melihat bil, ia menunjukkan jumlah RM2,650. Enam pasang baju dengan harga macam tu, kira murahlah beb!
Tidak cukup dengan itu, pada Ogos lalu personaliti itu meminta Azura menyiapkan dua pasang baju lagi yang akan dipakainya pada hari raya. Namun, kedua-dua baju ini belum sempat diambil personaliti berkenaan dan bilnya sebanyak RM1,900 saja.
Ketika membuat tempahan, Azura memberitahu, dia tidak mengambil sebarang deposit daripada personaliti TV itu atas dasar percaya, lagipun dia bertugas di stesen TV terkenal. Personaliti itu juga berprofil tinggi apabila dia berkahwin dengan anak VIP yang juga seorang usahawan berjaya.
“Ketika saya hantar invoice dan enam pasang baju itu kepadanya (personaliti TV), katanya dia puas hati dengan semua baju, cuma dia akan bayar sekali termasuk dua pasang baju raya berkenaan. Apabila dua pasang baju itu sudah siap, saya ke rumahnya pada 27 September lalu dan seperti dijanjikan, saya tiba kira-kira jam 3 petang,” terang Azura.
Apabila Azura tiba di kawasan perumahan elitnya, Azura mendakwa dia menerima kiriman SMS ini daripada personaliti TV berkenaan: “Zura, you simpan saja baju-baju tu. I tak nak deal dengan you lagi. Jangan hubungi I lagi dan I takkan jumpa dengan you lagi.”
Pun begitu, personaliti TV berkenaan kena bayar juga enam pasang baju yang sudah diambilnya itu. Namun, personaliti itu tetap berkeras tidak mahu bayar dengan alasan dia tak puas hati dengan keenam-enam baju berkenaan, tiba-tiba!
Pada pertemuan kami, Azura sempat menunjukkan kepada Zubir, surat dari pejabat peguamnya apabila dia sudah memfailkan tuntutan bayaran menerusi Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bertarikh 14 Oktober apabila surat berkenaan memberi peringatan kepada pengacara TV itu supaya menjelaskan semua bayaran tertunggak berjumlah RM4,550!
Zubir difahamkan antara pelanggan tetap Azura ialah Datuk Siti Nurhaliza, Fouziah Gous, Nora Danish dan beberapa kerabat raja selain VVIP. Azura mendakwa, dia belum pernah menerima rungutan daripada pelanggan berkenaan. Azura juga pernah memenangi anugerah rekaan fesyen terbaik apda sesi karpet merah pada Anugerah Juara Lagu (AJL) TV3 dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), baru-baru ini.
ZUBIR: Selebriti popular kirim SMS kepada pihak pengurusan akhbar mengadu publisiti dirinya makin berkurangan.