
Linda dan Fahrin bergambar mungkin kerana terpaksa.
|
Kemuncak kekesalan pelakon dan pengacara ke atas penyampai popular Era sudah bermula
MUSIM kedua program realiti tarian, Sehati Berdansa (SB2) dijadualkan menemui peminatnya di saluran Astro Ria bermula 26 Oktober ini. Seperti sedia maklum, Astro terus mengekalkan pengacara musim pertamanya, Fahrin Ahmad serta Linda Onn dalam ketika pasangan berkenaan sudah mengucapkan selamat tinggal kepada status 'teman tapi mesra' yang sudah terjalin antara mereka lebih setahun yang lalu.
Sekalipun antara Fahrin dan Linda khabarnya tercetus perang dingin, tapi atas dasar profesional, mereka akur dengan permintaan Astro yang mahu mengekalkan kedua-duanya untuk musim kedua ini. Kata-kata sinis yang dilemparkan kepada bekas pasangan kekasih ini - mereka sekadar mampu berdansa, tapi tidak lagi sehati dan sejiwa. Kalau diminta bergambar sama sekalipun, kerana terpaksa atas permintaan media dan Astro.
Pada petang 15 Oktober lalu (sehari selepas sidang media SB2), Zubir berkesempatan menemui Fahrin di lokasi penggambaran Fara 3 di Sunway Lagoon. Ketika itu dia bersama Fara Fauzana baru saja menjayakan satu babak drama bersiri arahan Aziz M Osman. Untuk mengetahui apa terjadi, Zubir pun mendekati Fahrin apabila tidak berpeluang menghadiri sidang media SB2 kerana masih bercuti.
"Terus-terang saya katakan, SB2 adalah kemuncak kekecewaan saya terhadap Linda! Saya perhatikan, Linda beberapa kali pada media berlainan seperti blog, bisik-bisik pada orang sekeliling termasuk akhbar, cuba memberitahu peminatnya, dia sepatutnya digandingkan dengan orang lain dalam SB2 dan bukannya saya! Tapi, di saat-saat akhir, nama saya jadi pilihan Astro dan Linda 'terpaksa' menerimanya.
"Kalau Linda seorang yang benar-benar profesional, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar daripada mulutnya. Sewajarnya Linda harus bersedia digandingkan dengan sesiapa saja. Linda cakap saja di mulut, dia seorang yang profesional dan boleh menerima keadaan perhubungan kami ketika ini dengan hati terbuka.
"Tapi, apabila melihat dia bercakap di pelbagai media, ternyata tindak tanduknya tidak selari dengan kata-katanya. Saya sudah lama mendiamkan diri, namun disebabkan sikap keanak-anakan Linda yang terus berlarutan, saya harus bersuara untuk kebaikan semua termasuk dirinya.
"Pun begitu, saya minta maaf jika pemilihan saya sebagai pengacara bersama SB2 mengecewakan Linda. Saya juga seperti dirinya, tawaran Astro adalah rezeki buat saya (sambil merujuk kepada kenyataan Linda dalam B*Pop terbitan 12 Oktober lalu)," kata Fahrin yang nampaknya tidak lagi berlapik atau berkias ketika bercakap mengenai bekas buah hatinya, Linda.
Mengenali Fahrin, dia sebelum ini begitu teratur mengeluarkan kata-kata berhubung kisah putus cintanya bersama Linda, mungkin terlalu menjaga hati bekas kekasihnya itu, tapi kali ini dia lebih 'vokal', mungkin sudah mencapai kemuncak kekecewaannya terhadap kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan Linda menerusi pelbagai medium. Zubir tidak menyebelahi sesiapa baik Fahrin mahupun Linda kerana kedua-duanya adalah kawan baik Zubir yang sudah lama Zubir kenal hati budi masing-masing. Tapi, apabila bercakap soal hati dan perasaan, ia terlalu sensitif. Kalau beginilah kesudahannya, masing-masing ada hujah tersendiri, Zubir harap Fahrin dan Linda mampu menyelesaikan misi SB2 ini dengan jaya, mungkin lebih berjaya daripada musim pertamanya.
Cuma satu pertanyaan Zubir kepada pihak Astro, sudah tahu antara Fahrin dan Linda tiada lagi kasih sayang, mengapa terus mengekalkan mereka sebagai pasangan pengacara, adakah tujuan Astro mengekalkan bekas 'teman tapi mesra' ini di pentas sama dengan motif mewujudkan sensasi di kalangan pihak media dan peminat, sekali gus melonjakkan rating SB2 dengan kisah cinta mereka yang tidak berkesudahan ini?
ZUBIR: Selamat Pengantin Baru kepada cucunda Sultan Pahang, Tengku Nurul Kamalia yang melangsungkan majlis persandingannya, Sabtu lalu.