Linda, Que Haidar kahwin tahun depan?

Que Haidar

Koreografer tarian dan aktor popular dikatakan bertandang ke rumah Mawi, Aidilfitri lalu

SELEPAS reda kisah 'teman tapi mesra' antara Linda Onn dan Fahrin Ahmad, kini tiba giliran koreografer jelita, Linda Jasmine Hashim, 36, serta pasangannya pelakon popular, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar, 29, menyulam benih cinta apabila gosip tersebar peminat terlihat kemesraan antara mereka di KLCC dan sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun, membaca laporan media sepanjang minggu lalu, Linda tidak mahu memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai perhubungannya dengan Que, sekali gus terus meninggalkan tanda tanya sama ada dia benar-benar bercinta dengan Que atau sekadar gosip liar.

Perkhabaran terbaru yang singgah ke telinga Zubir memberitahu, ketika cuti perayaan Aidilfitri baru-baru ini, Linda dan Que sempat bertandang ke rumah bakal pengantin baru, Mawi untuk berhari raya! Sama ada benar-benar nak beraya atau nak ambil berkat pengantin baru, tak dapatlah Zubir pastikan kesahihannya.

Linda Jasmin Hashim

Sumber memberitahu Zubir, ketika kunjungan itu, Que sempat berseloroh dengan Mawi, mengatakan dirinya sekarang ini susah nak cari makan apabila Mawi semakin galak berlakon filem. Mawi sudah pun membintangi Jin Notti bersama Fara Fauzana dan terbaru kata Que, Mawi kini diintai KRU Studios untuk filem terbaru mereka, Magika sambil merujuk kepada tulisan gosip Zubir, baru-baru ini.

Ketika melepak di Hartamas Square baru-baru ini, ada sumber lain memberitahu Zubir, dia ternampak Linda dan Que leka membelek barangan pengantin di sebuah kedai yang menjual dan menyewa kelengkapan perkahwinan! Sumber yang sama juga membisikkan ke telinga Zubir, mendakwa pasangan merpati dua sejoli itu khabarnya bakal menempuh alam perkahwinan selewat-lewatnya tahun depan, kahwin beb!

Tidak berpuas hati dengan khabar angin daripada sumber, Zubir berjaya mendapatkan sedikit komen daripada Linda dan sekali lagi Linda tetap tidak mahu memberikan sebarang jawapan pasti, seolah-olah menyembunyikan sesuatu mengenai hubungannya bersama Que.

“My private life, dengan kawan baik sekalipun saya tak mampu nak kongsi. I am not ready to talk anything at the moment. Sekalipun saya buat kenyataan, saya tak suka tipu-tipu. Kalau nak cakap, biar perkara yang betul. Jadi, buat masa ini saya belum bersedia untuk sebarang jawapan,” itu saja jawapan Linda selepas sejam Zubir memujuknya supaya dia membuat pengakuan jujur mengenai dia dan Que.

Tidak lama kemudian, Zubir berjaya menembusi telefon bimbit Que dan berharap agar ada ‘sinar’ daripadanya.

“Maaf Abang Zubir, saya tak nak komen apa-apa...,” begitulah jawapan ringkas Que yang seolah-olah sudah berpakat dengan Linda sekiranya berdepan dengan wartawan yang bertanyakan hubungan antara mereka.

Sebelum ini heboh mengatakan Que berkawan rapat dengan aktres popular, Sharifah Amani. Kebanyakan majlis hiburan rasmi yang dihadiri, Que dan Amani seperti pasangan belangkas, tidak mampu dipisahkan sehingga ada dakwaan mengatakan antara mereka adalah pasangan kekasih. Terbaru, Que dan Amani berpasangan menerusi filem Selamat Pagi Cinta! yang bakal menemui peminat di pawagam sedikit masa lagi.

Ditanya status hubungannya dengan Amani, ini saja jawapan Que: “Macam biasa Abang Zubir, kami masih berkawan.”

Que terus diasak dengan soalan, jika dia dan Amani ketika ini masih berkawan, adakah Linda insan paling rapat dalam hidupnya ketika ini?

“Saya tak nak komen apa-apa bang,” begitulah Que yang terus mengunci rapat mulutnya. Nasihat Zubir buat Linda dan Que, berterus terang sajalah, jangan sampai dilabel cinta cover line, oopps! Dah macam judul drama terbaru Rashid Sibir pula.

ZUBIR: Dafi dan Diana Danielle dikatakan bakal berpasangan menerusi filem terbaru KRU Studios, Magika.


Artikel lain: