JUMAAT lalu Zubir berkesempatan menghadiri Anugerah Skrin (ASK) 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Zubir kagum apabila melihat kelibat mama jelita, Nora Danish yang kini hamil lapan bulan dan aktres terkenal, Abby Abadi turut memeriahkan acara tahunan kemegahan TV3 itu. Bukannya apa, seperti sedia maklum, Nora dan Abby masing-masing pernah berdepan peristiwa pahit dalam melayari rumah tangga mereka.
Bezanya Nora sudah bercerai, Abby pula masih terus berusaha mendesak suaminya, Norman Hakim supaya melepaskannya apabila mendakwa tidak sanggup bermadu sekiranya Norman memilih Memey sebagai isterinya keduanya.
Dalam pada itu, ada rakan artis membisikkan ke telinga Zubir dia terpandang kelibat Vee atau Nur Aliah Lee Abdullah yang juga bekas isteri pengarah terkenal, Aziz M Osman hadir pada majlis sama, tapi lebih istimewa dia turut ditemani seseorang.
Zubir difahamkan, jejaka kacak yang berjalan beriringan dengan Vee dan duduk bersamanya itu ialah seorang kerabat raja Selangor. Khabarnya Vee dan rakan terdekat dengan kerabat itu memanggilnya dengan panggilan Tengku Y atau ringkasnya TY.
Sebenarnya kisah Vee dengan TY sejak tahun lalu Zubir sudah terdengar desas-desus mengenainya, namun selepas itu gosip berkenaan senyap begitu saja. Kini, pada ASK2008, sekali lagi Vee dicanang hadir bersama TY. Kalau tak salah pendengaran Zubir, pada ASK2007, Vee juga hadir bersama TY, jadi tahun ini kontilah tu!
Bagi meleraikan persoalan sama ada TY adalah kekasih Vee, rasanya biarlah empunya badan memberi kenyataan. Lagipun, Zubir dengar cerita, pasangan berkenaan bakal mendirikan rumah tangga, tapi bila, Zubir kurang pasti.
“Betul Zubir, Vee datang ASK2008 dengan TY. Memang Vee masih berkawan dengannya hingga hari ini,” jelas Vee ringkas saja.
Hai Vee, takkan masih berkawan atau status ‘teman tapi mesra’ selepas sekian lama Zubir perhatikan mereka serasi bersama?
“Pening kepala Vee dengan kau Zubir. Macam ni saja, jika ada apa-apa nanti antara Vee dan TY, Vee akan beritahu rakan press yang rapat, jangan risau, Vee tak akan sembunyikan perkara elok. Doakan saja kebahagiaan Vee,” kata Vee akhirnya melerai kekusutan.
Dengan penjelasan itu, Zubir harap cepat-cepatlah TY melamar Vee. Kalau dah serasi, sayang dan cinta, jangan tunggu lama-lama, nanti dikebas orang!
ZUBIR: Khabarnya nama sebenar pelakon baru, Erry Putra ialah Roslan Hamzah, betul ke?