
Marsha Milan Londoh
|
Bintang realiti minta kemukakan bukti apabila dituduh lakukan perbuatan terkutuk
GOSIP panas dan kontroversi terus menjengah industri hiburan tanah air. Terbaru, cerita sensasi yang singgah ke pengetahuan Zubir apabila seseorang yang terbabit dengan kerja belakang tabir penerbitan drama dan filem, baru-baru ini, melepak bersama Zubir pada satu majlis perkahwinan di Klang, Selangor, memberitahu bintang jelita Akademi Fantasia 3 (AF3), Marsha Milan Londoh menggugurkan kandungannya berusia tiga minggu, awal tahun ini!
Terlopong mulut Zubir mendengar khabar teman tadi kerana sebelum ini ada beberapa gosip diberitahunya, ternyata cerita sahih. Justeru, apabila dia memberitahu Marsha gugurkan kandungan, memang tersentap juga jantung Zubir dibuatnya! Pun begitu, teman tadi mendengar cerita panas ini daripada rakannya yang pernah bertugas bersama produksi penerbitan AF3, maknanya cerita atas ceritalah gosip berkenaan.
Dia memaklumkan kepada Zubir, apabila Marsha mendapati dirinya hamil dan usia kandungannya memasuki tiga minggu, Marsha mengambil keputusan menggugurkan saja janin berkenaan sebelum perutnya bertambah besar, sekali gus terpaksa menanggung malu yang maha hebat. Maklum sajalah, walaupun Marsha bukan beragama Islam, tapi dia artis remaja popular yang menjadi perhatian ramai peminat.
Kononnya Marsha menggugurkan kandungan di sebuah klinik swasta di pinggir ibu kota. Zubir pula tidak mahu jadi hakim atau beranggapan negatif selagi tidak mendengar sebarang penjelasan daripada Marsha sendiri berhubung perbuatan terkutuk itu. Alhamdulillah, ketika dalam perjalanan ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur, petang Khamis lalu, Zubir berjaya menghubungi Marsha yang kebetulan sedang berehat di rumah.
Sebaik mendengar soalan Zubir, terus Marsha tergelak besar, seolah-olah tidak terkejut dengan gosip terbaru yang melanda dirinya itu.
“Abang Zubir, dah selalu sangat saya terkena gosip macam ini, tak habis-habis orang buat cerita bukan-bukan. Menjawab pertanyaan Abang Zubir, jawapannya tak pernah okey! Saya pernah terbaca gosip gugurkan anak ini dalam internet, tapi tak sangka sampai hari ini masih diperkatakan. Saya masih waras dan tahu memelihara batas-batas pergaulan. Tak mungkin saya sanggup menconteng arang ke muka keluarga,” tegas Marsha.
Disebabkan terlalu kecewa dan tertekan dengan gosip liar yang melanda dirinya itu, Marsha dengan lantang bersuara supaya mereka yang menuduhnya melakukan perbuatan keji itu supaya menampilkan bukti dan jangan hanya sesuka hati bercakap melemparkan fitnah bertujuan menjatuhkan maruah dan air mukanya saja!
Marsha yang genap usia 23 tahun pada 6 Disember ini bagaimanapun tidak menafikan masih berkawan rapat dengan ‘teman tapi mesranya’, Kefli, namun mengakui antara mereka tidak pernah merancang atau berbicara soal perkahwinan kerana menganggap usia masing-masing masih terlalu mentah apabila fokus utama ketika ini ialah memantapkan kerjaya seni yang baru saja bermula.
ZUBIR: Tahniah buat penyampai HotFM, Kieran bersama Fouziah Gous kerana mengacara game show terbaru TV3, Roda Impian!